KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyanggah kenyataan yang mendakwa beliau tidak mahu diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan kerana takut kalah.

Mohamed Nazri menegaskan kenyataan yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed itu langsung tidak masuk akal.

Katanya adalah tidak logik untuk beliau takut kerana pada PRU14 beliau menang dengan pertambahan majoriti.

Mohamed Nazri menegaskan beliau tidak mahu PRU15 disegerakan bukan kerana takut kalah tetapi masanya belum sesuai.

“Ketika PRU14 lalu 'mood' rakyat adalah menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi di Padang Rengas saya menamg dengan pertambahan majoriti.

“Jadi untuk apa saya nak takut kalau ketika rakyat benci UMNO saya boleh menang dengan majoriti yang meningkat berbanding PRU13.

“Beza dengan parlimen Pulai yang ditandingi Nur Jazlan, beliau kalah dengan majoriti besar kepada Salahuddin Ayub dari parti Amanah yang baru dua tahun ditubuhkan,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas dakwaan Nur Jazlan bahawa beliau tidak mahu PRU15 disegerakan kerana takut kehilangan pendapatan, Mohamed Nazri menjelaskan beliau tidak memegang apa-apa jawatan dan tidak mempunyai gaji.

Sebaliknya jelas beliau, sebagai Ahli Parlimen beliau hanya menerima elaun seperti yang telah ditetapkan.

“Elaun Ahli Parlimen itu saya gunakan untuk kegunaan penduduk di Padang Remgas.

“Saya tidak menyara  keluarga saya dengan elaun Ahli Parlimen, jadi saya tidak perlu risau tentang gaji atau pendapatan.

“Saya tidak tahu sama ada Nur Jazlan memerlukan elaun Ahli Parlimen untuk menyara keluarga sebab itu dia mahu segera diadakan PRU15,” katanya lagi.

Menjawab dakwaan Nur Jazlan bahawa PRU15 perlu disegerakan bagi memboleh BN berkuasa dan membantu rakyat, Mohamed Nazri menegaskan ketika ini BN sudah berkuasa dan sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

“Saya pelik dengan Nur Jazlan, sekarang ini Perdana Menteri dari UMNO dan BN, bukankah itu tandanya kita sudah berkuasa?

“Kenapa kita tidak gunakan masa yang ada ini, kuasa yang ada untuk membantu rakyat dan negara keluar dari masalah ekonomi?

“Mungkin dia nak segera PRU15 sebab nak intai peluang jadi calon, kalau dia menang mungkin nak cuba nasib jadi menteri,” ujar beliau.

Mohamed Nazri menjelaskan perbelanjaan yang sangat besar diperlukan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Katanya, perbelanjaan yang besar itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

“Nak adakan PRU memerlukan perbelanjaan sekitar RM1 bilion, kenapa tidak gunakan duit sebanyak itu untuk bantu rakyat.

“Ini yang saya katakan sebelum ini jangan jual nama rakyat untuk kepentingan peribadi.

“Orang seperti Nur Jazlan ini sepatutnya kurang bercakap tetapi bantu PM yang mahu menolong rakyat,” katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Nur Jazlan sebagai berkata Mohamed Nazri dan beberapa pemimpin UMNO lain tidak mahu PRU15 disegerakan kerana takut kalah.

Nur Jazlan juga mendakwa pemimpin UMNO yang tidak mahu PRU15 disegerakan kerana takut kehilangan pendapatan.