Skip to main content

Politik

Bukan setakat AUKU, peluang lanjut pengajian tinggi perlu adil tanpa kira kaum - Loke

SEREMBAN, 22 Julai -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berucap ketika membantu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Temiang berkempen di Temiang, hari ini.  DUN N.12 Temiang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Ho Weng Wah, calon Barisan Nasional (BN) Leaw Kok Chan dan calon BERSATU Fazly Hamid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony Loke berkata, pemansuhan AUKU merupakan antara agenda yang diperjuangkan parti itu sejak puluhan tahun lalu. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: DAP memberi sokongan penuh terhadap cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30), yang akan dibawa ke Kabinet.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pemansuhan AUKU merupakan antara agenda yang diperjuangkan parti itu sejak puluhan tahun lalu, justeru langkah berkenaan akan mendapat sokongan 100 peratus DAP.

“Saya juga bekas pelajar universiti tempatan, saya juga mangsa AUKU pada ketika itu, berada dalam keadaan ketakutan, climate of fear di kampus Malaysia.

“Bila Perdana Menteri bawa cadangan mansuh AUKU, DAP akan beri sokongan 100 peratus kepada beliau,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Bagaimanapun, Anthony berkata momentum reformasi itu tidak seharusnya terhenti dengan pemansuhan AUKU, sebaliknya semangat sama perlu diterjemahkan kepada beberapa pembaharuan lain yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“AUKU satu komponen. Kita pohon, kita cadangkan kepada Anwar, bukan setakat AUKU. Semangat sama juga perlu dibawa kepada beberapa reformasi yang telah kita janjikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam sektor pendidikan, beliau mahu kerajaan memastikan peluang melanjutkan pengajian tinggi diberikan secara adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.

Katanya, tiada rakyat Malaysia yang layak sepatutnya dinafikan peluang mendapat pendidikan tinggi hanya disebabkan latar belakang mereka, sebaliknya potensi setiap modal insan negara perlu dihargai.

Anthony turut memberi jaminan DAP akan menyokong sebarang cadangan, formula atau dasar kerajaan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat, termasuk pembaharuan dalam sektor ekonomi.

“DAP akan menjadi dokongan kepada semua perubahan. Yang paling penting, kita nak lihat perubahan positif dalam negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara progresif,” katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan hasrat untuk membawa cadangan pemansuhan AUKU ke Kabinet pada Rabu depan sebagai sebahagian usaha meneruskan agenda reformasi kerajaan.

Must Watch Video

Advertisement