TELUK INTAN: Kenyataan bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming berkenaan calon perdana menteri daripada DAP disifatkan sebagai pandangan peribadi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Nga Kor Ming berkata, dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, mana-mana anggota parti bebas memberikan pendapat, termasuk berkaitan isu politik.

"Baik Ahli Parlimen mahupun pemimpin, mereka bebas untuk memberikan sebarang pendapat peribadi. Walau bagaimanapun, setiap daripada mereka itu adalah terikat dengan keputusan parti, jelas. Itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan, di sini, hari ini. 

Nga diminta mengulas pandangan Ong yang mencadangkan bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan, menyertai DAP kerana parti itu tiada calon perdana menteri.

Ong menyuarakan perkara itu ketika sesi temu bual menerusi siri audio siar 'Keluar Sekejap' bertajuk 'Kenapa Melayu Tak Suka DAP?’.

Pada Januari lepas, Khairy Jamaluddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO dipecat daripada parti sementara Shahril Sufian digantung keahlian.

Media melaporkan, setakat hari ini, Khairy masih berteka-teki berhubung isu kerjaya politik beliau sama ada akan menyertai parti lain untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Sementara itu, Shahril dilaporkan menegaskan, beliau tidak akan bertanding pada PRN akan datang kerana secara teknikal, beliau masih ahli UMNO.