Skip to main content

Malaysia

Remaja 14 tahun pandu kereta langgar dua kenderaan di Perai

[TB]_Remaja kemalangan pandu kereta_Media Sosial
Kemalangan itu menyebabkan tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan. - Foto media sosial/BERNAMA
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun memandu sebuah kereta sehingga melanggar dua kenderaan lain dalam kejadian di dua lokasi berasingan di Taman Chai Leng, Perai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian berlaku pada 4.50 petang Selasa dan laporan diterima pada 8.47 malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati remaja itu yang memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 terlebih dahulu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Dia kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan betul,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nik Aminuddin berkata kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Nik Aminuddin berkata ibu bapa dan penjaga diminta supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.

Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial semalam memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sehingga melanggar kenderaan lain sebelum dihentikan orang ramai di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement