KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How tidak berniat untuk menyertai mana-mana parti politik selepas bertindak keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) Jumaat lalu.

Bagaimanapun Chee How sedia untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kesejahteraan bersama terutama pengundi di kawasannya.

“Tidak, itulah sebabnya saya tidak mahu terlibat dengan parti politik. Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita berbuat demikian kerana dengan cara itu mungkin kita boleh menyumbang dengan lebih baik.

“Saya sentiasa mesra dengan semua orang, jadi tidak ada persoalan tentang mesra kepada siapa tetapi saya mahu memulakan inisiatif dengan kolaborasi semua pihak demi kepentingan Sarawak, itulah tujuan saya.

“Jadi ia bukan tentang mesra kerajaan atau pembangkang, saya akan bersikap mesra kepada semua orang,” jelasnya dalam satu sidang media khas di Pusat Khidmat Batu Lintang dekat sini pada Selasa.

Dalam pada itu Chee How menyangkal dakwaan langkah keluar parti itu berkaitan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-lompat Parti kerana beliau telah mempertimbangkan keputusan itu sejak beberapa bulan lalu.

Ditanya sama ada mempunyai rancangan untuk menubuhkan parti baharu, Chee How berkata perkara itu tidak terlintas langsung di fikirannya setakat ini.

Malah lebih memilih untuk membalas sokongan yang diberikan oleh rakyat di kawasan di samping fokus kepada pembangunan Sarawak.

“Sudah tentu tidak, untuk masa terdekat ni memang tidak. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menubuhkan parti baharu.

“Saya juga tidak berminat bertanding untuk kerusi parlimen, saya hanya mahu fokus kepada Sarawak,” tambahnya lagi.

Berkenaan pampasan yang dituntut PSB atas pelanggaran aku janji semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 untuk mewakili parti itu bagi kawasan Batu Lintang, Chee How yang juga seorang peguam berpengalaman itu berkata pihaknya sedia untuk sebarang tindakan undang-undang.

“Ini adalah perkara berkemungkinan untuk kes mahkamah jadi saya tidak akan mendedahkan terlalu banyak tentang itu. Tetapi apa yang saya boleh katakan adalah anda semua boleh rujuk artikel 17 fasal 4, fasal 6 dan 7 Perlembagaan Negeri untuk mengetahui tentang perkara itu telah termaktub,” katanya.