Komponen Pakatan Harapan (PH) Amanah dan DAP berharap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dapat mencari titik persamaan dalam menyelesaikan isu pemilihan calon perdana menteri.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lepas untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak dalam pakatan namun usaha itu masih belum berjaya.

"Kami berharap PKR (komponen lain dalam PH) dan Tun (Dr Mahathir), bersama-sama Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu padu," katanya.

Tindakan demikian akan membolehkan mereka memperoleh kembali mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata mereka.

Kemelut memilih calon perdana menteri PH tercetus apabila parti komponen gabungan itu dilihat seakan-akan tidak mencapai konsensus dalam menentukan calon perdana menteri sekiranya membentuk kerajaan.

Dr Mahathir, yang merupakan Pengerusi PH, meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada Februari. PH mengambil alih Putrajaya setelah memenangi PRU14 pada Mei 2018.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional yang diterajui UMNO, PAS dan beberapa parti lain untuk membentuk kerajaan baharu yang dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada 1 Mac.

-- BERNAMA