Skip to main content

Politik

DAP digesa beri kata dua kepada PM Anwar - Ong Kian Ming

Sumber: FB Dr. Ong Kian Ming
DAP boleh menghormati kerangka Perlembagaan Persekutuan serta keputusan yang dibuat mengikut proses perundangan negara, namun pada masa yang sama menyatakan pendirian politiknya sekiranya merasakan terdapat perkara yang tidak selari dengan prinsip perjuangan parti itu, kata Kian Ming. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming menggesa parti itu mengambil pendirian yang lebih jelas dan tegas susulan perkembangan terbaharu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk mempertimbangkan untuk mengemukakan tuntutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya UMNO dikeluarkan daripada Kabinet.

Penganalisis politik itu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hari ini memberi ruang kepada parti berkenaan untuk menjelaskan pendiriannya berhubung isu yang menjadi perhatian ramai sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut beliau, DAP boleh menghormati kerangka Perlembagaan Persekutuan serta keputusan yang dibuat mengikut proses perundangan negara, namun pada masa yang sama menyatakan pendirian politiknya sekiranya merasakan terdapat perkara yang tidak selari dengan prinsip perjuangan parti itu.

"DAP tidak seharusnya terhad kepada kenyataan bahawa parti itu menghormati keputusan yang telah dibuat. Ramai penyokong sedang menantikan penjelasan yang lebih jelas mengenai pendirian dan tindakan susulan yang akan diambil," katanya dalam hantaran di media sosial pada Sabtu. 

 

Kian Ming berpendapat, salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah menggesa Anwar menilai semula kedudukan UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan sebelum mesyuarat Kabinet minggu depan.

Katanya, langkah sedemikian akan membolehkan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan perbezaan pendirian politiknya berhubung isu yang berkait dengan Najib dan skandal 1MDB, yang sekian lama menjadi antara agenda utama diperjuangkan gabungan itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini beberapa kali menyatakan kesediaan UMNO berdepan sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung kedudukan parti itu dalam kerajaan.

"Ini mungkin menjadi peluang untuk Perdana Menteri mempertimbangkan semula komposisi Kabinet berdasarkan perkembangan semasa," katanya.

Menurut Kian Ming, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai ruang untuk meneruskan pentadbiran dan urusan Parlimen meskipun tanpa penyertaan UMNO dalam Kabinet, namun ia memerlukan penyusunan semula yang pantas bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama, beliau berpendapat, langkah mengemukakan tuntutan kepada Perdana Menteri adalah lebih munasabah berbanding DAP membuat keputusan tergesa-gesa untuk meninggalkan kerajaan.

Beliau turut menegaskan, keputusan yang dibuat menerusi proses pengampunan tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada mana-mana individu yang menganggotai Lembaga Pengampunan, memandangkan perkara itu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan dan bidang kuasa yang ditetapkan.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang pendirian yang diambil DAP perlu disertakan dengan langkah yang jelas sekiranya parti itu benar-benar mahu menunjukkan kesungguhannya terhadap isu berkenaan.

Antara pilihan yang dicadangkan ialah DAP menyatakan kesediaan untuk menilai semula kedudukannya dalam Kabinet sekiranya tuntutan supaya UMNO digugurkan tidak dipenuhi.

Menurut beliau, langkah sedemikian akan memberikan isyarat bahawa pendirian yang diambil bukan sekadar kenyataan politik, sebaliknya, mempunyai implikasi yang nyata terhadap kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Dalam kenyataan sama, Kian Ming turut mengingatkan UMNO supaya berhati-hati dalam menguruskan sentimen awam berkaitan Najib.

Katanya, meskipun parti itu berhak mempertahankan bekas Presidennya, UMNO tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa isu 1MDB memainkan peranan besar dalam perubahan landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Beliau berkata, parti itu perlu mengambil kira persepsi pengundi, khususnya dalam kalangan orang Melayu, selain kemungkinan kesan terhadap hubungan politik dengan parti-parti lain menjelang pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, perhatian kini tertumpu kepada keputusan yang bakal diumumkan DAP selepas mesyuarat CEC parti itu, khususnya sama ada parti berkenaan akan mengambil langkah lebih jauh bagi menterjemahkan pendiriannya terhadap isu terbabit.

Kian Ming berkata, sebagai bekas pemimpin parti dan rakyat yang pernah terlibat dalam gerakan menuntut reformasi institusi, beliau berharap DAP akan mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip yang selama ini diperjuangkannya.

Must Watch Video

Advertisement