KUALA LUMPUR: DAP menghormati keputusan membubarkan Parlimen mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, tetapi kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata langkah untuk tidak membubarkan DUN melibat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilaan adalah selari dengan keputusan Majlis Presiden PH.

Jelas beliau, ketiga-tiga kerajaan negeri itu masing-masing boleh terus memberi fokus untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana.

"Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebentar tadi, beliau telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada hari ini dan memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam tempoh masa 60 hari.

"Kita telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa pilihan raya umum tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat risiko banjir melanda negara, namun DAP menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Seremban itu lagi, begitu pun seluruh pimpinan dan anggota parti akan dikerahkan untuk berkempen demi memenangi mandat rakyat untuk PH membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, seluruh jentera pilihan raya DAP akan diaktifkan serta merta untuk menghadapi kempen PRU15.

Dalam masa yang sama, Loke berkata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa) untuk membincangkan persiapan parti menghadapi PRU15.

[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri


Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

Naib Presiden UMNO itu dalam perutusan khas turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen.