KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun mengemudi DAP, Lim Guan Eng akan memberi laluan kepada setiausaha agung baharu pada Kongres Kebangsaan Ke-17 parti esok, semasa parti itu mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan dalam tiga pilihan raya negeri yang lepas.

Guan Eng tidak boleh dipilih semula ke jawatan itu setelah mencapai had maksimum tiga penggal namun dijangka masih mempunyai pengaruh yang kuat kerana berkemungkinan kekal dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.

Seramai 4,149 perwakilan akan menghadiri kongres sehari secara fizikal itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam dan mengundi dalam CEC, yang akan membawa parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ahli CEC akan memilih pemegang jawatan parti.

Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook, yang disebut-sebut bakal menggantikan Guan Eng sebagai setiausaha agung, adalah antara 93 calon yang bertanding untuk 30 jawatan CEC bagi penggal 2022-2025.

Calon CEC lain termasuk bapa Guan Eng dan veteran parti, Lim Kit Siang; Pengerusi parti dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai; Naib Pengerusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta anak lelaki mendiang Karpal Singh - Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Berikutan perkembangan penting pada kongres kebangsaan lepas, parti itu akan menyaksikan lebih ramai wakil wanita dalam CEC baharu.

Pada kongres lepas, perlembagaan parti dipinda dengan memperuntukkan kuota 30 peratus untuk wanita dalam CEC, yang bermakna terdapat sekurang-kurangnya sembilan wanita dalam jawatankuasa baharu itu.

Terdapat lima ahli CEC wanita untuk penggal 2018-2021 -- Teresa Kok Suh Sim (Timbalan Ketua Setiausaha), Yeo Bee Yin (Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan), Teo Nie Ching (Setiausaha Antarabangsa) dan ahli jawatankuasa Chong Eng dan Jannie Lasimbang.

Sementara itu, antara calon Melayu dalam pemilihan parti itu ialah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan merangkap Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Zairil Khir Johari; Naib Pengerusi Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali: Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari dan Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan dan juga ADUN Ketari Young Syefura Othman.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata susulan keputusan yang kurang memberangsangkan pada pilihan raya negeri Sarawak, Melaka dan Johor, perwakilan parti perlu memilih ahli CEC, terutamanya golongan muda dan muka baharu, yang boleh memimpin mereka untuk berjaya dalam PRU15.

-- BERNAMA