POLITIK
DAP syor PRU16 Parlimen, DUN serentak - Loke

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ditemui pemberita selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-23 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: DAP mengesyorkan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan secara serentak dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ringkasan AI
- DAP mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi Parlimen dan DUN diadakan serentak dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menjimatkan kos dan memastikan kelancaran proses pilihan raya.
- Anthony Loke berharap kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan berbincang dengan Perdana Menteri agar pilihan raya dapat diadakan serentak, walaupun keputusan pembubaran DUN adalah hak negeri masing-masing.
- Beliau mengingatkan ahli parti supaya sentiasa bersiap sedia, kerana pelaksanaan pilihan raya serentak dianggap lebih wajar dan bertanggungjawab berbanding diadakan secara berasingan.
“Ia bagi memastikan kelancaran pilihan raya, menjimatkan kos dan juga sudah tentu dari segi politik, kita mahu memaksimumkan peluang untuk menang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Justeru, beliau berharap pimpinan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan dapat mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Perdana Menteri.
Ini kerana, katanya, cadangan tersebut masih belum dibincangkan secara rasmi bersama pimpinan parti.
“Walaupun DUN masing-masing ada hak dan kuasa untuk menentukan bila dibubarkan, tetapi pendirian saya sebagai pemimpin DAP adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri di bawah kita berbincang dengan Perdana Menteri supaya pilihan raya itu dapat diadakan serentak.
“Untuk beberapa negeri lain (Melaka, Johor dan Sarawak), tempohnya akan tamat tidak lama lagi melainkan di Sabah. Jadi kalau hendak diadakan serentak dengan Parlimen, maka perlu diawalkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ia terletak pada kuasa budi bicara prerogatif Perdana Menteri, namun tidak menolak kemungkinan PRU16 akan diadakan secara serentak.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban mengingatkan ahli parti supaya sentiasa bersiap sedia bermula dari sekarang.
“Kalau diadakan serentak, semua perkara boleh dibuat sekali sahaja kerana banyak kos diperlukan terutama melibatkan logistik.
“Itu yang telah kita lihat sebelum ini (PRU15). Jadi saya rasa adalah lebih wajar dan lebih bertanggungjawab untuk diadakan secara serentak supaya kos itu dapat dijimatkan,” katanya.
Untuk rekod, PRU15 diadakan khusus bagi kerusi Parlimen pada 19 November 2022, manakala pilihan raya DUN berlangsung secara berasingan mengikut negeri.
Sabah menjadi negeri pertama mengadakan pilihan raya lebih awal iaitu pada 26 September 2020, diikuti Melaka pada 20 November 2021 dan Sarawak pada 18 Disember 2021.
Johor pula membubarkan DUN lebih awal dan mengadakan pilihan raya pada 12 Mac 2022.
Tiga negeri di bawah pimpinan PH ketika itu iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta tiga negeri kerajaan Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu membubarkan DUN serentak dan mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami