KULAI: DAP mengambil sikap terbuka terhadap setiap bentuk pandangan atau kritikan daripada mana-mana pihak termasuk MCA.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata parti itu sentiasa mengalu-alukan setiap kritikan malah akan mengambil pendekatan yang positif terhadap setiap kritikan membina.

"Bukan dia (MCA) sahaja tetapi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang lain juga (ada) yang beri kritikan konstruktif (membina), kita akan terima. Bukan bila kita sudah jadi kerajaan, tidak boleh dikritik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Pendidikan Daerah Kulai hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata kritikan MCA turut dianggap sebagai satu solusi serta kerjasama antara satu sama lain memandangkan kedua-dua parti kini adalah sebahagian daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker semalam bahawa parti tersebut akan terus mengkritik PH, khasnya DAP, walaupun telah menjadi sebahagian daripada blok Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, seramai 46 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lapan bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 diraikan pada majlis apresiasi itu.

"Pelajar SPM diberikan 'hadiah' berupa komputer riba dan lapan pelajar STPM diberikan komputer riba serta wang tunai sebanyak RM500 seorang sebagai galakan untuk mereka berjaya di masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA