MALAYSIA
Rapid KL On-Demand tambah zon baharu termasuk pusat bandar

Perkhidmatan ini bertujuan memudahkan perhubungan last-mile dari stesen rel ke destinasi akhir, dengan tambang promosi RM1 dan tempahan tempat duduk melalui aplikasi Rapid On-Demand.
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melancarkan empat zon baharu perkhidmatan Rapid KL On-Demand mulai Isnin ini di kawasan tumpuan di ibu kota dan koridor pendidikan utama sebagai langkah strategik untuk memudahkan mobiliti bandar.
Ringkasan AI
- Rapid Bus akan melancarkan empat zon baharu perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula Isnin ini, meliputi kawasan pusat bandar Kuala Lumpur dan koridor pendidikan seperti UPM, IIUM, dan kawasan sekitarnya.
- Perkhidmatan ini bertujuan memudahkan perhubungan last-mile dari stesen rel ke destinasi akhir, dengan tambang promosi RM1 dan tempahan tempat duduk melalui aplikasi Rapid On-Demand.
- Pelancaran ini merupakan langkah strategik ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih lestari dan inklusif, dengan sasaran 300 van beroperasi sepenuhnya menjelang awal Julai 2025.
Pengenalan perkhidmatan On-Demand ke kawasan berkenaan bertujuan menyediakan perhubungan 'last-mile' yang lebih lancar dan responsif bagi pengguna yang bergerak dari stesen-stesen rel atau hentian bas utama ke destinasi akhir mereka dalam pusat bandar.
"Dengan kepadatan trafik dan kesesakan parkir di kawasan ini, perkhidmatan menjadi penyelesaian mobiliti mikro yang mesra pengguna dan menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berorientasikan pengangkutan awam," menurut kenyataan itu.
Selain pusat bandar, liputan turut diperluas ke zon koridor pendidikan, melibatkan kawasan seperti UPM, IIUM dan sekolah di sekitarnya bagi memudahkan akses harian pelajar, pensyarah dan petugas ke institusi pendidikan dengan lebih selamat, terancang dan fleksibel.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan berkata pengenalan zon baharu adalah bukti komitmen pihaknya dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja inklusif tetapi responsif terhadap keperluan sebenar pengguna.
"Zon pusat bandar kami dirancang untuk menyelesaikan isu 'first/last-mile' yang sering dihadapi oleh pengguna di kawasan paling sibuk dalam negara, manakala zon pendidikan pula menyasarkan kemudahan harian untuk golongan pelajar dan warga akademik.
"Pelancaran itu yang kedua terakhir sebelum kesemua 300 van Rapid KL On-Demand beroperasi sepenuhnya menjelang awal Julai 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah sistem pengangkutan awam lebih lestari dan menyeluruh," katanya.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam menerusi aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store, dengan tambang promosi RM1 untuk setiap perjalanan dikekalkan.
Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch 'n Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan OKU Smile, dan Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity dan Pas Famili).
Untuk maklumat lanjut pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami