Pas berpandangan DAP tidak perlu takut untuk mengadakan pemilihan semula selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan pemilihan yang lepas sebagai tidak sah.

Naib presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, DAP perlu mengikut undang-undang yang ada kerana negara ini mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Dia kena bertanggungjawab dengan RoS lah. Saya tak berani nak komen sebab ini masalah undang-undang, kita serah kpada RoS.

“Kita nak bagi pandangan, tetapi pada saya elok dia ikut permintaan RoS itu kerana negara kita ada undang-undang.

“Aduan itu dibuat oleh ahli DAP sendiri, tentu ada asas. Apa takutnya buat pemilihan? Apa nak takut kalau tak ada masalah dalaman?” soalnya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

RoS sebelum ini memaklumkan bahawa pemilihan DAP pusat pada 29 September 2013 sebagai tidak sah dan pemilihannya perlu diadakan semula.

Sementara itu, Mohd Amar turut menjelaskan bahawa kerajaan Kelantan bukannya tidak komited dalam memerangi rasuah serta melakukan ikrar bebas rasuah seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM).

Sebaliknya, jelas beliau giliran Kelantan belum tiba dan persiapan juga sudah dilakukan oleh setiausaha kerajaan Kelantan.

Beliau menjelaskan, kerajaan Kelantan komited dalam usaha memerangi rasuah dan dakwaan tidak komited itu tidak benar.