DAP ulangi pendirian mahu pilihan raya serentak, jimat kos dan kecekapan - Loke

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, berucap pada Majlis Konvensyen Tahunan DAP Negeri Johor 2025 hari ini. - Foto Bernama
SEGAMAT: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini sekali lagi menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat Persekutuan dan negeri, sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Ringkasan AI
- DAP menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak Parlimen dan negeri bagi menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan, meskipun keputusan pembubaran Parlimen kekal kuasa Perdana Menteri.
- Anthony Loke jelaskan beberapa negeri seperti Melaka, Sarawak dan Johor bakal tamat penggal menjelang 2026-2027, memberi ruang teknikal untuk penyelarasan jika Parlimen dibubarkan lebih awal.
- DAP Johor umum Wong Shu Qi sebagai Pengarah Pilihan Raya PRU16 dan PRN Johor, dibantu barisan kepimpinan negeri untuk merangka strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Loke berkata beberapa negeri bakal melalui tempoh tamat penggal termasuk Melaka pada Dis 2026, Sarawak pada Feb 2027 dan Johor pada April 2027, sekali gus mewujudkan ruang teknikal untuk penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.
"Kalau nak diadakan pilihan raya serentak, maka Parlimen perlu dibubarkan lebih awal untuk memberikan laluan kepada pilihan raya serentak," katanya.
Loke berkata penyelarasan tersebut memberi kesan positif dari segi praktikaliti dan kos, khususnya melibatkan logistik seperti di Sarawak yang memerlukan belanja lebih besar bagi penganjuran pilihan raya berasingan.
"Dari segi praktikaliti, ia dapat menjimatkan kos...dan kita harap ini dapat diseragamkan dan disatukan supaya kos negara dapat dikurangkan," katanya.
Mengulas kerjasama politik menghadapi pilihan raya akan datang, beliau berkata perbincangan mengenai model kerjasama belum dimuktamadkan, namun DAP akan menyesuaikan strategi melalui semangat perjuangan yang konsisten.
"Apa sahaja percaturan, apa sahaja model kerjasama, kita akan berjuang habis-habisan, tak perlu kita bimbang," katanya.
Beliau berkata DAP Johor memiliki kekuatan asas yang perlu dipertahankan, termasuk lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lepas.
Loke berkata rundingan bersama Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan, bagi memastikan formula paling berkesan dirangka untuk menjamin kestabilan negara, pengukuhan tadbir urus dan manfaat rakyat.
"Yang paling penting, negara kita terus stabil, negeri kita terus maju dan ada cara untuk kita pastikan bahawa keputusan yang paling baik untuk rakyat dapat kita laksanakan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dalam ucapannya mengumumkan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Timbalan Pengerusi DAP Johor Wong Shu Qi, dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRU16 dan PRN Johor.
Teo berkata Ahli Parlimen Kluang itu akan dibantu Setiausaha DAP Johor Andrew Chen Kah Eng, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali serta Ahli Jawatankuasa DAP Liow Cai Tung.
"Saya percaya bahawa di bawah pimpinan Wong Shu Qi, mereka ini akan merangka strategi dan bagaimana kami akan bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya akan datang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


