SUNGAI SIPUT: Perolehan vaksin pada penghujung bulan ini tidak boleh dijadikan faktor untuk mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan secepat mungkin.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, walaupun Perdana Menteri sendiri telah bersetuju untuk mengadakan PRU secepat mungkin, namun ia perlu dilihat dari segi kesesuaian keadaan pandemik COVID-19 di negara ini.

Tegasnya beliau, aspek yang menjadi keutamaan kerajaan sekarang ialah menguruskan pandemik ini yang memberi kesan kepada ramai pihak.

"Berkenaan pilihan raya, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberitahu bahawa beliau pun memang setuju mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

“Tetapi kita kena faham bahawa ini adalah masa darurat dan (PRU) perlu mengikut keadaan.

“Keputusan boleh diambil oleh Yang Dipertuan Agong dan juga kerajaan melalui Perdana Menteri supaya darurat ini ditamatkan serta pilihan raya diadakan," katanya.

Vigneswaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan mesin jahit dan cek kepada golongan B40 di Parlimen Sungai Siput pada Sabtu.

Beliau juga berkata, MIC sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

Tambahnya, beliau berharap supaya pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang akan diberikan kepada MIC oleh kepimpinan Barisan Nasional nanti dilaksanakan secara adil.

Jelasnya, pengagihan itu sekali gus dapat membolehkan parti tersebut merampas kembali kerusi yang tewas pada pilihan raya umum lepas.