KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memperkenalkan calon-calon yang merentasi latar belakang dari bidang akademik, pegawai kanan kerajaan, golongan mahasiswa, sehinggalah ke tokoh agama.

Dalam sidang media khas di Ibu Pejabat PKR hari ini, Presidennya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, barisan calon yang diperkenalkan mempunyai kemahiran, keterampilan untuk dipersembahkan kepada rakyat.

Beliau berkata, PKR itu sedar pengundi pada masa kini tidak lagi menilai parti semata-mata, tetapi menitikberatkan juga soal keterampilan calon dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.

“Ini adalah untuk menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menampilkan tokoh berwibawa dan soal komitmen kita, bahawa parti ini bukan saja mpertahankan aktivis parti yang diberikan keutamaan, tapi untuk memberi ruang kepada lain yang kita rasa boleh beri sumbangan kepada rakyat dan negara,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Keadilan di sini hari ini.

Antara yang tokoh yang diperkenalkan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Agrotani, yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

“Belliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dalam pelbagai agensi kerajaan, selain menghadiri pelbagai kursus profesional di University of Columbia, National University of Singapore, dan pelbagai universiti antarabangsa yang lain.

“Beliau akan bertanding di Perak,” katanya lagi.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

Anwar berkata, PKR juga akan meletakkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, untuk bertanding di Pahang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Noraishah Mydin Abdul Aziz, yang juga merupakan tokoh profesional berkelainan upaya, akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

“Beliau yang menghidap spina bifida sejak kecil, mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dari UKM. Selepas lulus Sarjana dalam bidang genetik, Dr Noraisah melanjutkan pelajaran di University of London di peringkat Doktor Falsafaham dalam bidang bioteknologi perubatan.

“Kehadiran beliau di pentas politik pilihan raya menjadi lambang iltizam Keadilan untuk mengangkat sumbangan golongan kelainan upaya dalam masyarakat,” katanya lagi.

BACA: Nik Omar Nik Abdul Aziz bertanding di Perak, bawah kuota PKR - Anwar

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Omar, akan bertanding di bawah kuota parti itu di Perak.

Anwar berkata, Nik Omar adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir, dalam bidang usuluddin hadith, dan seterusnya melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana di University Yarbouk, Jordan dalam bidang syariah, dan kini merupakan calon doktor falsafah di University Pattani, Thailand.

Turut menarik perhatian ialah bekas presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha, yang akan diletakkan di Negeri Sembilan.

Dua lagi individu yang diperkenalkan ialah pegawai Country Head (Saudi) untuk UEM Edgenta Bhd, Saipolyazan Yusop yang akan bertanding di Selangor, dan calon doktor falsafah Universiti Malaya berusia 28 tahun, Fathin Amelina Fazlie, yang akan bertanding di Perlis.

Anwar berkata, pengumuman penuh sama ada mereka akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, akan dilakukan di Majlis Pengumuman Calon Keadilan PRU-15 di Ampang Jaya, pada 28 Oktober ini.