KUALA LUMPUR:Semua pihak disarankan agar tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi berhubung sebarang kemungkinan pengisytiharan darurat di negara ini.

Ini kerana, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, perkara tersebut masih belum diputuskan atau diwartakan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menzahirkan kebimbangan berhubung laporan mengenai perkara tersebut.

"Sepatutnya dia (Anwar) jangan cepat menghukum sebelum apa-apa berlaku. Perkara ini, dia (Anwar) sendiri yang ramal dan dia pula yang jatuh hukum. Ini, pada saya, tidak adil dan tidak beretika.

"Sedangkan, kerajaan masih tidak buat apa-apa keputusan, kerana segalanya akan ikut jalur perundangan," katanya ketika ditemui media pada program MyGrocer Inisiatif Wilayah Prihatin di sini hari ini.

Anwar semalam menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbang semula keputusan mengisytiharkan darurat kerana katanya, ia "keputusan yang pendek akal dan penting diri."

BACA: COVID-19 alasan kerajaan untuk salah guna kuasa, dakwa Anwar Ibrahim

BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara

Ketua Pembangkang itu turut menzahirkan kebimbangan dengan mendakwa kerajaan sedang berusaha mengambil langkah menyekat proses Parlimen.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang bergelut dengan isu keabsahan dan gagal menunjukkan majoriti di Parlimen menggunakan krisis COVID-19 sebagai alasan penyalahgunaan kuasa.

Dalam pada itu, Annuar berkata, sebarang keputusan yang diambil kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya keselamatan dan nyawa rakyat.

"Saya tidak cakap kerajaan akan isytihar darurat.

"Walaupun saya anggota jemaah menteri, terlibat dengan banyak perbincangan, selagi tidak diumumkan dan diputuskan, ia adalah tidak matang untuk kita hukum," tambahnya.