Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dan berasa seolah-olah dipermainkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang didakwa sengaja melengahkan perdebatan berhubung isu tanah Taman Manggis.

Menurutnya, Abdul Rahman seharusnya segera menetapkan tarikh perdebatan dan bukannya melarikan diri selepas membuat cabaran dengan alasan mempunyai urusan di luar negara.

Justeru, beliau memberikan tempoh seminggu kepada Abdul Rahman untuk berdebat dengannya dalam isu tersebut.

"Saya rasa sedikit kecewa kerana dia (Abdul Rahman) seolah-olah tidak serius dan saya rasa dipermainkan. Dia cabar saya pada Rabu, hari Khamis saya terima, lepas tu dia pergi luar negara.

"Saya beri seminggu pada dia untuk berdebat dengan saya," katanya ketika diminta mengulas mengenai perdebatan di antara beliau dan Abdul Rahman berhubung tanah Taman Manggis selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2015 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng menafikan beliau meletakkan syarat agar perdebatan itu nanti tidak menyentuh isu rumah banglonya, sebaliknya menegaskan beliau bersedia berdebat secara terbuka tanpa sebarang syarat.

"Mana ada saya sebut tidak mahu bangkitkan isu banglo? Bila dia keluarkan cabaran debat mengenai isu Taman Manggis, saya terima dan saya bersedia jika dia ingin membuatnya secara terbuka tanpa syarat," ujarnya.

Pada Rabu, Abdul Rahman mencabar Guan Eng berdebat mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi kepunyaan syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre ( KLIDC) kerana telah dijual kepada pihak ketiga.

Cabaran itu disambut Guan Eng Khamis lalu dan memaklumkan sedia berdebat di mana sahaja dan hanya menunggu tarikh daripada pihak Abdul Rahman.

Isu tanah Taman Manggis menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan projek perumahan rakyat.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menjual tanah tersebut kepada KLIDC melalui proses tender terbuka pada tahun 2010 bagi pembinaaan hotel dan hospital swasta.