"Apa khabar, bagaimana keadaan", itu sapaan mesra calon Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid setiap kali bertemu penduduk ketika mengunjungi rumah mereka menerusi Program Demi Cinta.

Kempen berjalan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan Mastura itu bertepatan dengan slogan beliau iaitu 'Demi Kuale, Demi Cinta Sebuah Perjuangan', yang akan meneruskan legasi perjuangan arwah suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk penduduk Kuala Kangsar.

Pendekatan bersemuka dalam berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 itu, diterima baik dan sangat dialu-alukan penduduk kerana ia memberi peluang untuk mereka melontarkan pelbagai permasalahan atau pendapat.

Suzana Ibrahim, 53, seorang ibu tunggal, berkata beliau gembira dengan pendekatan yang dilaksanakan calon itu kerana ia menunjukkan tiada jurang antara wakil rakyat dengan penduduk.

Mastura mendekati rakyat setempat menerusi slogan beliau ' Demi Kuale, Demi Cinta Sebuah Perjuangan'. - Bernama

"Saya sangat mengalu-alukan pendekatan sebegini kerana mudah dan tidak segan untuk kami bertanyakan soalan serta memberitahu kepada wakil rakyat tentang permasalahan yang kami hadapi," katanya ketika ditemui Bernama pada Program Demi Cinta di sini, hari ini.

Hamidah Abu Samah, 52, yang mengalami strok berkata beliau gembira dan terharu apabila calon BN itu datang melawat serta bertanya mengenai keadaan kesihatannya.

"Cara sebegini memang sepatutnya dilakukan oleh wakil rakyat dan mereka boleh lihat sendiri masalah yang benar-benar rakyat hadapi," katanya yang mengalami penyakit itu sejak 2014.

BACA: Jerih payah hidup rakyat Kuala Kangsar dekat di hati Mastura

BACA: Mastura bawa semangat Allahyarham suami ketika upacara angkat sumpah

Mastura berkata pendekatan itu bukan satu kelainan bagi beliau kerana ia telah dilaksanakan sebagai penyandang kerusi Parlimen itu, namun pelaksanaannya itu diteruskan menerusi program Demi Cinta dengan turut melibatkan agensi-agensi kerajaan.

"Demi Cinta ini adalah demi cinta saya kepada perjuangan allahyarham (suami) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (bekas anggota Parlimen Kuala Kangsar) serta demi cinta saya kepada Kuala Kangsar sebab saya dengan Datuk Wan bersama-sama memperjuangkannya.

"Rakyat Kuala Kangsar tahu apa yang saya telah buat selama dua tahun ini, jadi apa yang saya mahu ialah saya diberi mandat yang kuat untuk saya membawa permasalahan mereka secara jelas dan bersemangat di peringkat nasional nanti," katanya.

Pada PRU14 ini, Mastura dicabar Khairil Idham Lim Abdullah daripada PAS dan Dr Ahmad Termizi Ramli (PKR-Amanah).

-- BERNAMA