BALING: Serahkan sepenuhnya kepada pihak yang terlibat membabitkan isu permohonan maaf daripada DAP, untuk menyelesaikan perkara itu dengan sebaiknya.

Menurut Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof, bagaimanapun perkara utama yang perlu ditumpukan ketika ini adalah dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan berhenti daripada bermain politik semata-mata.

Sehubungan itu, dalam merealisasikan hasrat untuk memulihkan ekonomi negara selain mensejahterakan rakyat, semua pihak turut digesa untuk memastikan situasi politik negara berada dalam keadaan yang stabil.

"(Apa) yang penting, saya mengharapkan semua kita bersamalah, untuk pastikan supaya dalam apa bentuk sekalipun, (kita) perlu pastikan politik (negara ini) stabil, yang itu lebih utama daripada melihat kepada PRN sahaja (semata-mata), yang utama saya melihat bahawa politik (ini) kena stabil.

"(Berkenaan permohonan maaf) itu saya serahkan kepada parti masing-masing tetapi apa pun saya (mahu) katakan berhentilah berpolitik dahulu, tumpukan kepada perkhidmatan untuk kita pastikan pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perana Menteri berkata demikian ketika sidang media selepas taklimat Projek ADTEC dan Program Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, Baling pada Ahad.

Semalam, Pemuda UMNO memberi jaminan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan berjalan seperti biasa walaupun sayap itu lantang menuntut DAP memohon maaf sebelum ini.

Walau bagaimanapun Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan kepimpinan DAP sama ada mahu memenuhi tuntutan berkenaan atau sebaliknya, termasuk memikirkan segala kebaikan serta keburukan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya DAP boleh membuat permohonan maaf dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), mengapa tidak boleh dilakukan perkara yang sama terhadap UMNO.