KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum baru-baru ini sebagai retorik semata-mata.

Beliau memberitahu, kebanyakan cadangan dalam manifesto PH itu tidak ditunaikan sehingga kini dan jalan ke arah itu masih belum digarap.

"Saya membuat perbandingan Belanjawan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan manifesto PH. Terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati atau tidak disentuh langsung di dalam Belanjawan ini.

"Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja iaitu pertama, dana peruntukan kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat.

"Kedua, komitmen Kerajaan untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau.

"Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti program pemansuhan hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40, memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma, yang tidak disentuh dalam ucapan pembentangan.

"Beranikah Tambun mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik?," soal Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa kerajaan untuk meluluskan segera peruntukan kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, yang kawasan mereka dilanda banjir.

Katanya, peruntukan terbabit membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.

"Justeru, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen yang kawasan mereka dilanda banjir, termasuk Ahli Parlimen pembangkang," katanya.

Kerajaan digesa menjelaskan kedudukan dasar, agenda Bumiputera dalam pembangunan


Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut meminta kerajaan memperincikan kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam dasar pembangunan negara.

Katanya, kajian impak berkaitan status pencapaian syarikat Bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi yang dibantu dan menerima manfaat daripada pakej serta inisiatif kerajaan, perlu dibentangkan bagi melihat sejauh mana dasar terbabit memberi manfaat kepada golongan berkenaan.