KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul undi percaya kepada keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui undi suara majoriti.

Keputusan itu diumumkan Speaker Datuk Johari Abdul, selepas usul itu selesai digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sewaktu menggulung, Azalina berkata, seramai 13 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, dan majoriti pembahas membangkitkan tentang kandungan Perjanjian Persefahaman antara Gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya tentang klausa yang mewajibkan Ahli Parlimen Kerajaan menyokong usul berkaitan keabsahan kerajaan.

“Yang Berhormat (Takiyuddin) katakan perjanjian ini melanggar undang-undang, saya jawab pertama, sebenarnya ini antara kami yang tandatangan, 148 Ahli Parlimen melalui parti politik PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan.

“Yang Berhormat kata ada (Ahli Parlimen Kerajaan) tak puas hati, atau dipaksa. Saya minta maaf tapi Yang Berhormat tak baca perenggan akhir (perjanjian). Dinyatakan tentang majlis perundingan dan timbang tara, dianggotai wakil diperakukan parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan, hendak diwujudkan.

“Ia berperanan untuk pastikan segala terma dipersetujui, sebarang perselisihan diselesaikan secara harmoni. Apa masalah. Apa yang tak ada demokrasi sangat? Takkan hal rumah tangga nak gaduh di khalayak ramai? Gaduhlah di bilik tidur. Saya tak kawin tak tahu gaduh mana, tapi terutama sekali yang ada cawangan (isteri) dua, tiga atau empat tu,” katanya lagi.

Dewan Rakyat lulus undi percaya kepada Perdana Menteri


Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Takiyuddin menyentuh mengenai klausa perjanjian yang memerlukan Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, pembekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur, perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

Perkara itu merupakan antara yang tergaris dalam dokumen perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ditandatangani ketua-ketua parti terlibat di Bangunan Perdana Putra pada 16 Disember lepas.

Dalam penggulungannya, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut berkata, Akta Anti-lompat Parti diwujudkan untuk memastikan kerusi seseorang Ahli Parlimen itu kekal menjadi milik parti.

“Berdasarkan rasional penggubalan perkara 49(A) (2), Perlembagaan Persekutuan, maka boleh dirumuskan mekanisma digunakan parti politik tidak bercanggah dengan Perlembagaan, dan sah.

Maknanya mekanisma itu tertakluk pada parti politik. Jadi hubungan sekarang, kerusi itu kerusi parti, Bukan kerusi individu itu sendiri.  Dulu tak ada akta, dia boleh bergerak dengan kerusi, ikut bumbung, pintu belakang, atau pintu depan.

“Sekarang nak ikat, dan beri hak kepada parti kerana apabila ahli politik bertanding atas tiket parti, parti yang labur, letak nama, guna jentera, pakaian, warna, dan sebagainya, takkan lepas menang boleh lari begitu sahaja,” katanya lagi.