Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib akan membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS minggu depan berhubung keputusan Jawatankuasa PAS Pusat menggantung keahliannya, lapor portal Mstar Online hari ini.

Saari dilaporkan berkata surat rayuan itu akan diserahkan sendiri di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada Isnin.

Beliau juga dilaporkan belum membuat keputusan sama ada mahu merayu agar penggantungannya ditarik balik dan hanya akan memutuskan perkara berkenaan selepas berbincang dengan peguam dan beberapa rakan rapat.

"Saya belum memutuskan apa yang akan dikarang dalam surat rayuan itu nanti. Saya telah berbincang dengan peguam dan beberapa rakan rapat untuk mendapatkan maklum balas dan pendapat mereka dalam isu penggantungan saya ini.

"Insya-Allah dalam hujung minggu ini saya akan menulis surat rayuan tersebut. Perkara yang akan ditulis sudah berada dalam fikiran saya," Saari dipetik sebagai berkata.

Saari menjelaskan surat penggantungan beliau diterima melalui pos pada 13 Oktober lalu dan menerimanya menerusi emel pada 11 Oktober.

"Dalam surat penggantungan itu, kesalahan yang saya lakukan tidak dinyatakan secara spesifik, namun surat itu memaklumkan saya melakukan kesalahan di bawah perkara 82 (6) Perlembagaan parti.

"Saya juga masih tertanya-tanya mengapa Jawatankuasa PAS pusat tidak menyatakan secara jelas kesalahan tersebut. Apa pun saya akan menjawab surat tunjuk sebab ini dan saya akan serahkannya Isnin ini," katanya.

Jawatankuasa PAS Pusat pada 12 Oktober lalu membuat keputusan menggantung keahlian Saari dan Adun Morib Hasnul Baharuddin selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Bagaimanapun, mengikut fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS pindaan 2011, Saari dan Hasnul diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti.

Keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul dibuat ekoran tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka yang dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar selagi beliau tidak dibuktikan bersalah atas apa-apa tuduhan.