JOHOR BAHRU: Tindakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang mahu memanggil Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengenai kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai luar biasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan sedemikian menyaksikan Parlimen mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah mempersoalkan keputusan hakim dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid.

"Saya terkejut besar, ahli Kongres Amerika dan Ahli Parlimen United Kingdom yang telah mengamalkan demokrasi berpuluh tahun pun tidak pernah mengadakan prosiding untuk menyiasat keputusan mahkamah.

"Padahal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menjelaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan yang dibuat Peguam Negara kerana ia termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi kenapa tiba-tiba semalam, Jawatankuasa Khas Parlimen bertindak melangkaui Perlembagaan?" katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan mahu melayani kehendak politik pihak pembangkang sehingga sanggup mengetepikan prinsip untuk tidak mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara.

"Sebagai bekas Pengerusi PAC yang menyiasat kes 1MDB dulu, PAC telah memanggil saksi tapi ramai yang enggan memberikan penjelasan apabila testimoni mereka boleh memprejudis fakta kes sekiranya pendakwaan diteruskan kerana fakta telah disebarkan kepada rakyat umum.

"Lagipun Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen pun bukan merupakan peguam atau profesional dalam perundangan kriminal seperti di Jabatan Peguam Negara dan juga hakim mahkamah.

"Adakah Parlimen sekarang mempersoal tindak tanduk profesional perundangan dan institusi perundangan secara terbuka? Bukankah tindakan mempersoalkan keputusan mahkamah selepas hakim menerima dan membuat keputusan berdasarkan penjelasan 11 perkara daripada Jabatan Peguam Negara juga boleh dianggap Contempt of Court?" ujarnya.

Pada Khamis, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dilaporkan, mungkin memanggil saksi lain selain Peguam Negara dan bekas Peguam Negara ketika prosiding berkaitan DNAA Ahmad Zahid.

Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya akan berbincang bagi menentukan isu dan saksi-saksi yang harus dipanggil.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian