KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan draf akhir Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Antilompat Parti  dikongsi kepada rakyat sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Felo Penyelidik MBM, Fauzi Fadzil berpandangan ini bagi membolehkan semua pihak diberi peluang untuk menyatakan pandangan, dan tidak hanya  melibatkan pemimpin politik.

Katanya lagi, perkara itu juga mampu mengurangkan penolakan terhadap RUU tersebut apabila ia dibentangkan kelak.

Bagaimanapun, dia mengakui pelaksanaan RUU itu kelak tidak mampu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap keadaan politik negara.

"Demokrasi memang kita terbuka untuk tidak bersetuju dan bersetuju, dan kita faham perkara itu. Tetapi apa sesuatu pendapat, polisi atau akta itu tidak dibawa ke perbincangan yang menyeluruh bersama dengan golongan-golongan sivil misalnya, dan hanya segelintir kecil di atas sana (kerajaan atau pembangkang) yang membuat keputusan untuk kita tanpa perbincangan, maka akan ada penolakan besar.

"Kalau kita tengok RUU Gangguan Seksual, ada perbincangan dibuat bersama golongan-golongan sivil. Apabila dibentangkan ada bunyi penolakan tentang definisi tertentu tetapi tiada penolakan besar terhadap RUU tersebut.

"Tetapi Akta Antilompat Parti yang dibawa ini telah terdapat bunyi (penolakan) yang banyak bukan sahaja pihak pembangkang, malah golongan sivil. Ini kerana drafnya tidak dibuka perbincangan kepada rakyat Malaysia, atau wakil-wakil untuk memberikan pandangan terhadap draf itu sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.


Mengulas lanjut, Fauzi berkata punca kuasa bagi mengesahkan sama ada seseorang Ahli Parlimen itu lompat parti juga sehingga kini masih belum dapat diperjelaskan.

Justeru, Fauzi berkata MBM berpendirian punca kuasa itu wajar diberikan kepada rakyat atau golongan belia di satu-satu kawasan bagi menentukan sama ada Ahli Parlimen mereka melompat parti, atau sebaliknya.

"Sebab itu sebelum ini di peringkat MBM ada cadangan-cadangan secara kecil yang diangkat mengenai referendum masyarakat di tempat Ahli Parlimen itu memegang kuasa untuk mempunyai suara menentukan bahawa Ahli Parlimen mereka benar-benar lompat parti atau tidak.

"Jika punca kuasa itu diberikan kepada pihak tertentu, katakan lah kepada menteri sudah terwujud persoalan adakah menteri tersebut boleh menyalahgunakan kuasa atau tidak.

"Tetapi kalau kuasa itu diberikan semula kepada rakyat, golongan belia yang berada di kawasan sebagai contoh, makanya tiada persoalan tuding-menuding jari akan wujud, di mana mereka menuduh pihak tertentu menyalahgunakan kuasa," jelasnya.

Dalam memastikan kestabilan politik, dia menambah Akta Pembiayaan Dana Politik juga perlu segera diperkasakan.

Ini tegasnya bagi mengelakkan sesebuah parti politik terlalu bergantung kepada pembiayaan luar sehingga menjejaskan pembuatan keputusan.

"Makanya saya rasa di samping kita memperkuatkan Akta Anti Lompat Parti ini, tak kisah panggil apa pun, tetapi pembiayaan politik perlu kita pantau tak kira dalam mana-mana politik kerajaan mahupun pembangkang.

"Supaya parti politik bersuara berdasarkan suara rakyat, dan bukannya pandangan-pandangan tertentu (pihak yang salurkan dana)," katanya.

Mesyuarat Khas Parlimen akan diadakan pada 11 dan 12 April bagi membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Pembentangan dan pembahasan itu membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan RUU berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.