SERI ISKANDAR: Dua bekas pemimpin UMNO cawangan di Bahagian Parit bersama lapan lagi ahli parti menyertai DAP.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Cawangan UMNO Titi Gantung, Abdul Mukmin Abd Rashid dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pekan Parit, Rosman Esa menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi DAP Parlimen Parit, Tarmizi Mohd Jam.

Abdul Mukmin berkata, keputusan itu dibuat selepas merasai penolakan oleh akar umbi UMNO selepas tewas dua kali dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit.

Menurutnya, penyertaan ke dalam DAP itu bagi mendapatkan platform untuk menyuarakan permasalahan rakyat.

"Saya sudah dua kali menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit tapi kalah dan cukup jelas signal dari perwakilan menolak saya dengan undi.

"Ada yang menuduh saya mengejar pangkat dan wang apabila masuk DAP. Saya berminat dalam politik sejak dari kecil lagi dan memerlukan platform untuk menyuarakan suara rakyat. DAP membuka ruang seluasnya untuk golongan professional," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abdul Mukmin berkata, mereka memilih untuk berhijrah bagi mengorak langkah politik baharu yang semakin terbuka dalam persaingan demokrasi yang lebih segar dan sihat.

Menurutnya, dijangka ada beberapa lagi rakan-rakan ahli UMNO yang akan menyertai DAP cawangan tersebut.

Sementara itu, Tarmizi dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah atas keputusan yang berani menyertai DAP.

Beliau optimis lebih ramai orang Melayu yang akan menyertai DAP biarpun baru bertapak di Parit.

Pada September tahun lalu, Tarmizi mencipta sejarah menubuhkan DAP melibatkan keahlian terdiri daripada orang Melayu di Parlimen Parit.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian