BUKIT KATIL: Sebahagian rakyat Melaka menyifatkan pergolakan politik di negeri itu ketika mereka masih berhadapan kesulitan hidup akibat COVID-19 sebagai tidak sepatutnya berlaku.

Mereka meluahkan rasa kecewa dan bosan dengan tindakan segelintir ahli politik yang disifatkan rakus memperjuangkan kepentingan peribadi untuk memegang jawatan tertentu dalam kerajaan.

Tinjauan mendapati, rakyat mendesak ahli politik di negeri itu menghentikan permainan politik buat masa ini dan memberi tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan rakyat.

Seorang pesara, Mohd Nasir Harun, 64, meminta semua ahli politik di Melaka terus memberi fokus membantu rakyat ketika berhadapan pelbagai masalah susulan pandemik COVID-19.

"Kita sekarang ini dalam keadaan COVID-19 yang masih belum selesai, jadi sepatutnya kita tumpu perhatian, fokus (kepada isu rakyat terlebih dahulu).

"Masalah politik ini... kadang-kadang saya tengok cara mereka berpolitik lebih kepada kepentingan peribadi individu, bukan difikirkan rakyat... sedangkan rakyat kita tengok menderita.

"Mereka ini kena sama-sama fokus cari cara tengok kesengsaraan rakyat...  bagaimana ramai yang tak bekerja... ada yang tak makan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

BACA: DUN Melaka kini bergolak? Ini apa yang kita tahu setakat ini

BACA: Dakwaan Melaka bakal bertukar tangan, hanya mainan persepsi - Pas

Peniaga, Normala Sabtu, 51, turut kecewa dengan sikap segelintir ahli politik yang mencetuskan suasana yang tidak sihat di Melaka ketika rakyat masih berperang dengan pandemik COVID-19.

"Minta hentikanlah... orang politik ini jangan bergaduh tumpukan kepada peniaga yang tersepit ini... pentingkanlah rakyat dahulu, jangan berpolitik sekarang.. ini boleh sebabkan huru hara," katanya.

Seorang lagi peniaga, Shahrizam Md Shah, 42, berkata pemimpin tidak sewajarnya mementingkan diri sendiri untuk mencapai cita-cita politik.

"Saya harap hentikanlah main politik dahulu. Kerajaan yang ada sekarang rasanya cukup bagus untuk melaksanakan pentadbiran dan membantu rakyat," katanya.

Angin politik di Melaka dikatakan bergolak beberapa hari kebelakangan ini ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan didakwa akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).