IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 bagi tujuan larangan ahli dewan undangan negeri (ADUN) bertukar parti.

Usul pindaan itu dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan ia disokong sebulat suara oleh semua ADUN yang hadir pada persidangan DUN Perak.

Sebelum itu, empat ADUN daripada blok kerajaan dan dua daripada blok pembangkang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU berkenaan.

Empat ADUN kerajaan itu adalah Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu), Muhammad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta), Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka), serta M.Thulsi Thivani (PH-Buntong).

Sementara itu, ADUN pembangkang yang mengambil bahagian pada sesi sama ialah Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol), serta Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah).

Ketika sesi penggulungan, Saarani berkata siri-siri peristiwa pertukaran parti dalam kalangan ahli parlimen pada pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU4) sehingga mengheret negara kepada pelbagai isu pergolakan politik harus dijadikan iktibar.

"Keputusan penting yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi indikasi penting dalam usaha kita merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030.

"Sesungguhnya, segala perancangan baik yang digariskan dalam pelan tersebut memerlukan ekosistem politik stabil.

"Ini selari dengan sasaran Perak Sejahtera 2030 untuk mewujudkan sejahtera ekonomi, sejahtera sosial dan sejahtera politik," kata Saarani.

RUU berkenaan selari dengan RUU Antilompat Parti yang sebulat suara disokong 209 ahli parlimen di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos lalu serta berkuat kuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu.