KUCHING: Seperti dijangka, Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar pada Isnin depan.
Menurut Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembubaran tersebut bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dilangsungkan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR dijangka bersidang dalam masa terdekat bagi membolehkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Sarawak diputuskan.
"Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN.
"SPR akan dimaklumkan secara rasmi dan seterusnya menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian," katanya dalam sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, seluruh anggota kabinet Sarawak.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada perkhidmatan awam negeri atas komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat Sarawak.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua calon serta penyokong supaya menghormati undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya dan memastikan proses demokrasi berlangsung secara aman.
"Kita mahu rakyat membuat keputusan secara bebas.
"Saya percaya kita akan terus bekerjasama demi masa depan anak-anak Sarawak," katanya.
Terdahulu, pada jam 3 petang, Abang Johari telah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri untuk memaklumkan pembubaran tersebut.
Ini merupakan kali kedua Abang Johari memimpin partinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai PRN.
Dalam PRN Sarawak ke-12, GPS menang besar, 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Pun begitu menjelang akhir penggal, kerusi tersebut bertambah kepada 79 apabila salah satu parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan dan tiga wakil rakyatnya yang juga pemimpin utama parti itu menyertai salah sebuah parti komponen GPS, Parti Progresif Demokratik (PDP).
Seorang lagi wakil rakyat parti tersebut, terlebih dahulu mengisytihar keluar parti dan menjadi wakil Bebas tetapi mesra GPS.