AYER KEROH: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka akan dilantik dalam tempoh 48 jam.

Ketua Menteri ke-13 yang baru mengangkat sumpah, Datuk Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata, beliau belum dapat mengesahkan sama ada pelantikan itu akan turut melibatkan wakil rakyat daripada blok Pakatan Harapan (PH) ataupun tidak.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sudah pasti barisan Exco akan diputuskan dalam masa terdekat (dan) saya sedang membuat pertimbangan tentang pelantikan-pelantikan Exco baru ini.

“Saya tidak dapat panduan lagi (kerjasama bersama PH), saya akan cuba merujuk kepada pucuk pimpinan untuk pastikan apakah hala tujunya dan saya akan ambil petua tersebut untuk merangka Exco kerajaan negeri,” katanya.

Ab Rauf mahu jadikan Melaka mesra perniagaan, pelaburan


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas  menandatangani dokumen pelantikan Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, ketika ini terdapat 21 kerusi DUN dimenangi Barisan Nasional (BN) dan pembahagian 10 jawatan itu akan dibuat dalam kalangan mereka.

“Exco terdahulu sewaktu zaman Datuk Seri Sulaiman Md Ali secara automatiknya telah terbubar dan (Exco) baru bergantung pada ilham saya.

“Kita akan kekalkan 10 orang (Exco), blok kita (BN) menang tu 21 (kerusi) dan pandai-pandai lah mereka berkira (agih),” katanya.

Sementara itu Ab Rauf berkata nasib bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis sama ada akan dilantik semula ataupun tidak hanya akan diketahui sedikit masa lagi.

Katanya, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan.

“(Perkara itu) kita tunggu dan lihat.

“Nanti kita cari rumah lah, rumah mana atap bocor (untuk Jailani),” katanya ringkas.

Ab Rauf berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Muhammad Jailani yang juga ADUN Rembia yang secara lantang mendakwa Melaka akan mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’ di sebalik penggantian Ketua Menteri sedia ada.

Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.

Beliau kemudiannya dikatakan dipecat PKR sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.

[TERKINI] Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka ke-13




Ab Rauf Yusoh hari ini selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada Jumaat.

Istiadat angkat sumpah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), jam 3.33 petang.