KUALA LUMPUR: Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan baharu yang menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membawa keunikan tersendiri.
Namun bagi Penganalisis Politik Ilham Centre, Mujibu Abdul Muis, ketiadaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam barisan Exco, mencetuskan persoalan dari sudut dinamik politik pentadbiran negeri.
Meskipun beliau memberi laluan kepada muka baharu dan pemimpin muda, Mujibu meyakinkan bahawa Jalaluddin masih mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kepimpinan parti.
"Dalam politik, kekuatan seseorang itu tidak semestinya perlu diterjemahkan dengan menjadi Exco atau pentadbir. Pengaruh dalam parti, jaringan di peringkat pusat, serta sokongan undi berkali-kali lebih berkesan daripada jawatan itu sendiri.
"Cuma risiko yang kita bimbang jika tidak ditangani dengan baik ialah potensi berlakunya persaingan politik secara senyap yang boleh mewujudkan dua pusat pengaruh (power center) di Negeri Sembilan.
"Satu pusat pengaruh di tangan Menteri Besar yang memegang kuasa pentadbiran, dan satu lagi kuasa di dalam parti," ujar Mujibu ketika bersiaran dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Agihan Formula 8:2 Kunci Kestabilan Kerajaan Negeri
Di sebalik isu kepimpinan parti, Mujibu berpandangan, pembahagian portfolio Exco Negeri Sembilan yang menyaksikan lapan jawatan diberikan kepada BN dan dua kepada PN mencerminkan usaha mengagihkan kuasa secara seimbang demi mengekalkan kestabilan kerajaan.
Menurut beliau, formulasi 8:2 itu merupakan perwakilan wajar memandangkan majoriti dua pertiga yang diperoleh pentadbiran negeri dibentuk menerusi gabungan dua paksi utama.
"Kita melihat pelantikan ini sebagai langkah mengagihkan kuasa secara seimbang kerana pentadbiran ini memerlukan representasi kawasan dan juga kelompok di dalam parti itu sendiri.
"Kehadiran wakil MCA serta dua wakil daripada Perikatan Nasional (masing-masing daripada Pas dan Bersatu) dalam Kabinet negeri membolehkan setiap paksi mempunyai suara dalam pentadbiran," katanya.
Dengan lapan muka baharu dan hanya dua Exco lama dikekalkan, beliau berpandangan, cabaran utama barisan kepimpinan baharu tersebut adalah membuktikan mampukah formula kerjasama BN-PN ini menterjemahkan kestabilan politik dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan.
Mampukah Formula BN-PN Negeri Sembilan Diulang di Melaka, PRU16?
Dalam pada itu, timbul persoalan sama ada model kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan itu boleh dijadikan ramuan untuk persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang seperti di Melaka, mahupun di peringkat Persekutuan bagi PRU16.
Mujibu berkata, meskipun kerjasama itu membentuk satu jajaran yang kukuh, peniruan formula yang sama secara bulat-bulat di negeri lain adalah sukar disebabkan dinamik dan lanskap politik yang berbeza.
"Di Negeri Sembilan, kerjasama ini dipacu oleh keberadaan common enemy yang memerlukan gabungan electoral pact. Namun untuk jangka masa panjang, idea ini mungkin sukar dilaksanakan di negeri lain seperti Melaka.
"Sebagai contoh di Melaka, BN telah mengumumkan untuk mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi. Dengan DAP memegang lima kerusi, ruang untuk PN mengisi kerusi adalah sangat terhad. Begitu juga di negeri SG4, adakah Pas sanggup mengorbankan kerusi mereka demi memberi laluan kepada BN?" jelas beliau.
Walau bagaimanapun, dari sudut matematik politik, Mujibu tidak menolak bahawa kekuatan gabungan dua paksi ini berupaya menyapu bersih kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.
"Kelebihan untuk dua gabungan ini bersatu dan berdepan pilihan raya untuk menang semua kerusi Melayu adalah sangat tinggi. Dengan memenangi kerusi Melayu di Semenanjung sahaja, ia sudah cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah tanpa perlu bergantung kepada sokongan Sabah dan Sarawak," katanya lagi.