SETAKAT Sabtu lalu lebih 73 peratus pengundi yang layak untuk mengundi telah menunaikan tanggungjawab asas mereka sebagai rakyat sebuah negara demokrasi. Ia tidak mengambil kira pengundian tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Serai, Baram dan Kota Marudu.

Pengundi telah menggunakan lima minit mereka di pusat mengundi dengan memilih wakil rakyat pilihan mereka. Keputusan telah diketahui. Pilihan telah dibuat.

Di bawah lunas perundangan, tugas dan tanggungjawab mereka telah pun berakhir pada 19 November. Cuma tidak ada kemenangan muktlak lagi muktamad mengenai parti yang memperoleh majoriti tipis untuk membentuk kerajaan. Pun begitu rakyat terutama pengundi menunggu dengan penuh minat dan debaran pihak yang akan membentuk kerajaan, dan sekali gus membawa kepada pelantikan perdana menteri.
Dua persoalan itu menantu jawapan.


Sejak dua hari lalu ibu negara, terutama Istana Negara, hotel dan rumah pemimpin gabungan utama, menjadi tumpuan pemegang taruh bagi mencari penyelesaian kepada soalan-soalan itu.

Sebenarnya, keadaan Parlimen tergantung sudahpun diramalkan sejak sebelum pembubarannya diumumkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Melihat kepada keadaan hari ini, pasca-19 November, timbul persoalan sama ada parti politik individu atau gabungan parti politik telah memberi perhatian yang secukupnya untuk mengelakkan situasi Parlimen tergantung.

Tetapi yang menjadi fokus adalah siapa yang akan menjadi ‘king maker’. Ramai beranggapan bahawa kedudukan ‘king maker’ akan menyelesaikan kemelut Parlimen tergantung dengan mudah.

Hari ini situasi yang berbeza tercetus, lalu memeningkan para pemegang taruh.

Ketika itu, ramalan-ramalan yang diketengahkan didokong dan disokong dengan pandangan bahawa gabungan dari Sarawak dan Sabah akan menjadi kuasa penentu atau ‘king maker’ kepada gabungan yang bercita-cita untuk membentuk kerajaan pusat untuk lima tahun akan datang. Sudah pasti yang dirujuk itu termasuklah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GPS merupakan gabungan empat parti yang dibentuk oleh empat buah parti yang keluar dari Barisan Nasional (BN) sejurus selepas PRU14.

Minggu lalu, menurut laporan media, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah parti dari Sarawak keluar BN  pada tahun 2018 adalah untuk memudahkan perjuangannya lebih fokus pada negeri itu, dan berikutan itu GPS ditubuhkan. “Susah untuk kita membawa setiap masalah yang ada di Sarawak kepada mereka (BN) kerana tahu akan kalah dan inilah sebab kita undur diri dari BN dan tubuh parti (GPS) untuk Sarawak yang hanya berjuang untuk Sarawak (GPS),” kata beliau.

GPS adalah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Ia dibentuk selepas tidak yakin dengan BN, sebuah gabungan lima dekad, yang dibentuk susulan langkah penjenamaan semula ke atas Parti Perikatan susulan prestasi buruk dalam PRU 1969.

Selepas 1969, BN mempamerkan prestasi paling buruk pada tahun 2008 dengan kehilangan lima buah negeri sekali gus buat pertama kali dan mengalami kemerosotan kerusi di Dewan Rakyat. Kedudukan itu semakin merosot sehingga prestasi yang disaksikan kali ini.

Dalam pada itu, GRS merupakan gabungan dalam gabungan, iaitu Perikatan Nasional selaku gabungan baharu, dianggotai oleh PBS dan Star Sabah, yang ditubuhkan ketika Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020.

Dalam PRU15 kali ini, GPS dan GRS masing-masing menguasai 23 (termasuk kerusi Baram yang diumumkan keputusan semalam) dan enam kerusi. Kedua-dua Sabah dan Sarawak menawarkan 56 kerusi. Bermakna dua blok Borneo boleh membawa 28 kerusi. Terdapat lagi parti individu di Sabah iaitu WARISAN dan KDM, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Sarawak. Jika kita mengambil keseluruhan kerusi Sabah dan Sarawak, pihaknya menawarkan 100 peratus kerusi dalam pelbagai bentuk.

Mengikut apa yang telah diumumkan oleh SPR awal pagi Ahad lalu, tiada mana-mana parti yang memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan atau majoriti mudah. PH memenangi sebanyak 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh oleh PH. Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi. Dalam pada itu, BN memperoleh 30 kerusi diikuti GPS (22), GRS  (enam), WARISAN (tiga), PBM (satu) dan calon Bebas (dua).

Berdasarkan perkembangan pada hari Ahad, GPS telah menawarkan ‘aset’ mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 73 kerusi.

Semalam, PH yang muncul sebagai gabungan yang memiliki kerusi terbanyak, iaitu 82, sedang mengadakan perbincangan dengan BN. Ada yang mengatakan perbincangan secara tidak formal telah pun bermula sejak beberapa hari lalu. Kerjasama PH dan BN juga telah membolehkan kerajaan dibentuk di Perak dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad kekal mengetuai kerajaan negeri. BN hilang penguasaan di Perlis buat pertama kali dalam sejarah, dan di Pahang, PH dan BN dijangka membentuk kerajaan bersama dengan menteri besarnya dijangka dari BN. Persefahaman telah dibentuk di negeri pantai timur itu.

Cakap-cakap menjadi makin kukuh bahawa formula PH+BN di Perak boleh menjadi gambaran awal apa yang bakal berlaku di peringkat pusat.

Selepas perkembangan hari pertama pasca-PRU15, BN yang mengalami kemerosotan paling buruk dalam sejarah pilihan raya, kini muncul sebagai ‘king maker’ di sebalik barisan dua ‘king maker’ yang disebutkan sejak beberapa bulan lalu. BN mengatasi kedudukan kuasa penentu. Perbincangan demi perbincangan sejak pagi semalam di ibu negara membuka laluan kepada BN dalam memperoleh gelaran terbaharu itu. Daripada gabungan utama selama enam dekad, kini ia menjadi gabungan ‘king maker’ utama – bukannya dari segi jumlah kerusi, tetapi daripada segi pengalaman pentadbiran.

Sehingga PRU tahun 2013 BN muncul sebagai gabungan yang memperoleh kedudukan selesa walaupun telah hilang banyak kerusi di Parlimen sejak tahun 2008.

Tumpuan sepanjang semalam adalah ke atas kemungkinan kerjasama PH+BN. Lewat petang semalam, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Kata beliau: “Rundingan membincangkan perkara utama menyentuh tentang kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.” 

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pula berkata, BN akan mempertimbangkan kerjasama dengan PN atau PH, dan keputusan mungkin dibuat hari ini. Ketua PH dan PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbincangan antara PH dan BN adalah berkaitan menubuhkan satu kerajaan perpaduan, bukannya satu pentadbiran PH atau DAP. Kenyataan itu dilihat dikeluarkan bagi meredakan kebimbangan dan keprihatinan sesetengah pihak akan kerjasama PH+BN.

Teori mengenai kerjasama PH+BN juga telah diperkatakan di peringkat awal tempoh berkempen. Ia dinafikan oleh kedua-dua pihak. Pada 8 Ogos lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang merupakan antara pemimpin PH yang mempertahankan kerusi Parlimen berkata, pihaknya tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Menurut beliau, politik Malaysia telah mengalami perubahan drastik sejak pilihan raya umum 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan. Siri pandangan, kenyataan dan reaksi sejak Ahad lalu meneruskan suhu politik pasca-PRU15. Dalam beberapa jam BN kembali menjadi perhatian sebagai ‘king maker’ baharu dalam arena politik tempatan.

Kini persaingan sengit adalah antara BN, GPS dan beberapa parti individu dari Sabah dan Sarawak.

Apa pun kerajaan baharu yang hendak diwujudkan perlulah mengutamakan kestabilan dan pemerintahan yang bersih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat dan negara. Kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk sepanjang mandat terbaharu yang telah diberikan oleh rakyat. Jika kita utamakan kepentingan rakyat dan negara, walaupun perbezaan satu kerusi di dewan perundangan, kita boleh melihat kewujudan sebuah kerajaan yang boleh kekal sehingga PRU16, yang sepatutnya diadakan lima tahun dari tarikh Parlimen mula bersidang kelak.



* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir 

** Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI