Kebanyakan penduduk Gaza bergatung pada bantuan, satu hidangan setiap 24 jam - UNRWA

UNRWA memaklumkan bahawa Israel menghalang kemasukan kakitangannya dari luar negara dan mengehadkan penghantaran bantuan. - Reuters
RAMALLAH: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menyifatkan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza kekal amat kritikal meskipun gencatan senjata berkuat kuasa, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
UNRWA memaklumkan bahawa Israel menghalang kemasukan kakitangannya dari luar negara dan mengehadkan penghantaran bantuan, menyebabkan kira-kira 6,000 trak makanan terkandas di kawasan lintasan.
Dalam satu kenyataan, agensi itu mengesahkan bahawa lebih 90 peratus penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan, dengan ramai hanya menerima satu hidangan setiap 24 jam.
Purata 170 trak memasuki Gaza setiap hari, jumlah yang jauh di bawah keperluan minimum untuk memenuhi keperluan asas, manakala UNRWA kini menguruskan 100 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 80,000 penduduk yang dipindahkan.
Agensi itu turut terus menyediakan perkhidmatan pembelajaran jarak jauh kepada kira-kira 300,000 pelajar dan pendidikan bersemuka kepada 50,000 pelajar dalam keadaan serba kekurangan dan penuh tekanan.
Menurut UNRWA, kira-kira 44,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sukar di 330 ruang pembelajaran sementara yang ditempatkan di 59 pusat perlindungan.
Agensi itu menegaskan bahawa ramai kanak-kanak terpaksa duduk di atas lantai yang sejuk kerana ketiadaan meja dan kerusi, sekali gus menyukarkan proses pembelajaran serta menjejaskan rasa keselamatan dan kestabilan mereka.
Keadaan ini berlaku ketika situasi kemanusiaan terus merosot di Gaza susulan serangan yang bermula pada 7 Okt 2023, dengan kesannya yang berpanjangan sehingga hari ini.
Pengeboman oleh Israel dan kemusnahan meluas mengakibatkan banyak sekolah dan kemudahan pendidikan musnah, memaksa UNRWA menukar pusat perlindungan kecemasan kepada ruang pembelajaran sementara bagi memenuhi keperluan pendidikan mendesak kanak-kanak.
Agensi itu menyatakan bahawa penyediaan keperluan asas seperti meja dan kerusi bukan sahaja manfaat fizikal tetapi juga memberi rasa stabil dan harapan kepada kanak-kanak untuk masa depan yang lebih baik selepas konflik.
Dari aspek kesihatan, klinik menerima 15,000 pesakit setiap hari di tujuh pusat kesihatan dan 35 titik perubatan bergerak.
Sejak 7 Okt, jumlah lawatan perubatan melebihi 15 juta, manakala kadar kekurangan zat makanan meningkat sehingga 90 peratus.
Agensi itu turut mendedahkan bahawa ia kehilangan 380 anggota kakitangan sejak perang bermula, manakala 90 peratus daripada hampir 300 kemudahannya rosak akibat pengeboman, menyebabkan kemerosotan ketara dalam kapasiti operasinya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

