Menteri Besar Perak menyifatkan dakwaan kononnya wujud 165,000 pengundi hantu di negeri itu menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai permainan politik jahat pihak pembangkang.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata dakwaan yang dibuat Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming itu merupakan tindakan “desperado” (terdesak) pihak pembangkang untuk memfitnah Barisan Nasional (BN) dan mengelirukan rakyat.

“Fitnah ini sama seperti PRU-13 lalu mereka turut dakwa wujud 43,000 pengundi hantu dari Bangladesh dan rakyat mempercayainya, jadi mereka ulangi lagi tuduhan ini untuk PRU-14.

“Ini permainan politik yang begitu kotor dan jahat, terlampau 'desperado',” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Cawangan Manjung, di sini, pada Jumaat.

Justeru Zambry yang juga Pengerusi BN Perak mencabar Kor Ming untuk menyerahkan kesemua bukti pengundi hantu yang konon disimpannya kepada polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dia (Kor Ming) harus bertanggungjawab dengan tomahan yang dibuat, serahkan bukti itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan secepat mungkin, tidak perlu beri kita (BN) tempoh 24 jam.

“Kita (BN) pun nak sangat tahu siapakah pengundi-pengundi hantu ini? Adakah ia sebenarnya milik Pakatan Harapan? DAP? Atau hantu diwujudkan Kor Ming sendiri?” tegas beliau.

Pada Selasa, Kor Ming menyatakan pihaknya mempunyai bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu yang dibawa masuk ke dalam negeri ini menjelang PRU-14.

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang mengugut akan menyerahkan semua bukti tersebut kepada pihak polis jika BN negeri tidak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak pembangkang dalam tempoh 24 jam kerana sebelum ini menyifatkan kewujudan pengundi hantu itu hanya sandiwara politik.