GELOMBANG sokongan dilihat semakin bertiup kencang ke arah MIC di kawasan Parlimen Sungai Siput sejak Tan Sri Vigneswaran, mantan Speaker Dewan Negara merangkap Presiden MIC turun padang ke kawasan Parlimen tersebut.

Sejak pertengahan tahun ini,  Vigneswaran mula melawat Sungai Siput untuk mendengar rintihan dan keluhan masyarakat yang menghadapi kesukaran hidup, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.

Bibit perubahan semakin dirasai oleh masyarakat kawasan Parlimen Sungai Siput sejak kehadiran beliau.
 
Parlimen P062 Sungai Siput  merupakan kawasan yang diperuntukkan kepada MIC sejak pilihan raya umum (PRU) yang pertama, iaitu pada tahun 1955.

Pada tahun tersebut, sejumlah 52 kerusi dipertandingkan dan MIC diperuntukkan dua kerusi, manakala UMNO dengan 35 kerusi dan MCA pula dengan 15 kerusi.

Dua kerusi Parlimen bagi MIC adalah Kinta Utara di Perak yang kini dikenali sebagai Sungai Siput dan Batu Pahat di Johor.

Dalam PRU tersebut, kerusi Kinta Utara ditandingi V.T. Sambanthan, Presiden MIC yang baharu sahaja mengambil alih kepimpinan parti daripada K.L. Devaser.

Manakala Batu Pahat ditandingi Chelvasingam MacIntyre (S.C.MaCentyre), pemimpin MIC dari Johor.

MIC berjaya memenangi kedua-dua kerusi tersebut pada PRU pertama.

Ini merupakan kejayaan julung kali MIC di negara ini, bersama Gagasan Perikatan (UMNO, MCA dan MIC).

Jika dilihat kepada statistik bagi pengundi pada tahun 1955, jumlah pengundi India di Kinta Utara adalah seramai 12,483 orang.

Daripada jumlah itu, pengundi India hanyalah 1,851 orang, manakala pengundi Cina seramai 2,581 orang dan pengundi Melayu pula 8,051 orang.

Walaupun jumlah pengundi India adalah yang terendah, namun V.T. Sambathan berjaya memperoleh kemenangan besar di Kinta Utara.

V.T.Sambathan memperoleh 7,900 undi dengan majoriti 6,068 undi.

Kewibawaan V.T. Sambathan terserlah dengan kejayaan beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu sehingga tahun 1969.

Dalam PRU ketiga (1969), kebanyakan pemimpin barisan utama Perikatan  gagal mempertahankan kerusi masing-masing, namun Tun V.T. Sambanthan tetap berjaya, walaupun dengan majoriti tipis 146 undi.

Sentimen perkauman yang menular dalam pentas politik sekitar tahun 1969 telah merosotkan prestasi Perikatan, bahkan telah mengakibatkan berlakunya peristiwa 13 Mei dalam sejarah Malaysia.


Pertahan Kawasan

Kerusi Parlimen Sungai Siput ditandingi oleh (Tun) Datuk Seri S.Samy Vellu bermula PRU4 pada tahun 1974 setelah Tun V.T. Sambantan melepaskan jawatan presidennya kepada Tan Sri V. Manickavasagam.

Samy Vellu yang bertanding buat kali pertama kerusi Sungai Siput memperoleh kemenangan dengan majoriti 644 undi.

Meskipun Samy Vellu mempertahankan kerusi Sungai Siput dengan majoriti kecil pada awalnya, namun beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut sebanyak lapan kali  sehinggalah PRU11 dengan majoriti besar.

Pada tahun 2008, beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut dan terlepas ke tangan pembangkang pada PRU12 akibat gelombang HINDRAF yang membangkitkan perasaan anti BN dalam kalangan kaum India di seluruh negara.

Walaupun muka baharu diletakkan untuk kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU13 dan PRU14, namun kerusi tersebut masih tidak dapat dipertahankan oleh MIC.

Parti pembangkang terus menguasai kerusi Parlimen tersebut dengan gelombang perubahan atau ‘change’ yang melanda negara menjelang PRU14 (2018).

Namun demikian, senario politik negara mula menunjukkan perubahan sejak PRU14, lebih-lebih lagi dengan penubuhan Gagasan Muafakat Nasional.

Malah sokongan masyarakat India juga dilihat semakin terarah kepada MIC yang kini berada di bawah kepimpinan Vigneswaran.

Ketika ini, jumlah pengundi yang berdaftar bagi kerusi Parlimen Sungai Siput adalah lebih kurang 55,000 orang.

Jumlah pengundi Melayu mencakupi 34 peratus, dengan Cina sebanyak 36 peratus, India pula sebanyak 21 peratus dan bakinya adalah lain-lain.

Sebahagian besar pengundi kawasan itu adalah golongan yang terlibat dalam sektor pertanian dan buruh kasar dan sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menyedari keperitan yang dilalui oleh masyarakat di Sungai Siput, Vigneswaran, selaku penyelaras kawasan Parlimen Sungai Siput, menggerakkan jentera MIC dan melaksanakan pelbagai bantuan prihatin.

Pelaksanaan projek-projek kemanusiaan ini, memulihkan bukan sahaja imej MIC, malah membolehkan MIC mendapat kembali sokongan pengundi kerusi Sungai Siput.

Vignesawaran menjelajah ke seluruh kawasan Sungai Siput, bertemu dengan orang ramai, mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka dan seterusnya menyediakan bantuan dalam bentuk wang ringgit dan barangan.

Sebagai contoh, baru-baru ini, beliau menyediakan sebuah van untuk membawa penghidap penyakit kronik daripada rumah ke hospital serta menyumbangkan komputer riba untuk para pelajar yang kurang mampu bagi membolehkan mereka belajar melalui dalam talian.
 
Masyarakat Sungai Siput melihat Vigneswaran sebagai seorang tokoh yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap kebajikan mereka.

Beliau dilihat dapat menyelami isi hati penduduk Sungai Siput dan menghulurkan pelbagai inisiatif  bantuan kepada mereka terutamanya yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Usaha-usaha beliau ini berjaya menyentuh hati sebahagian besar pengundi di Sungai Siput, khususnya pengundi India yang dijangka membantu MIC merampas semula kerusi Sungai Siput pada PRU15.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.