Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan terus berusaha membela kepentingan negara untuk membawa Malaysia terus maju.

Beliau yang memperingati genap 40 tahun penglibatan aktifnya dalam politik semalam, berkata beliau akan meningkatkan iltizam untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan Malaysia terus berjaya dengan cemerlang.

"40 tahun perjalanan hidup, bagi mana-mana manusia, jika disingkap kembali tentu penuh dengan suka duka, asam garam serta pahit dan manis kehidupan.

"Tetapi Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk berkhidmat dan bekerja bagi penduduk Pekan dan Malaysia sehingga ke hari ini," kata beliau dalam catatan terbarunya di blog NajibRazak.com, hari ini.

Tarikh 21 Februari 2016 menjadi detik bersejarah kepada Najib kerana menandakan genap 40 tahun penglibatan anak sulung Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein, dan Tun Rahah Mohammad Noah itu dalam arena politik.

GALERI FOTO: Najib Razak sambut ulang tahun ke-40 karier politik

Najib juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama beliau mengharungi rintangan dan mengecapi kejayaan selama 40tahun penglibatan beliau di dalam politik.

"Alhamdulillah, malam semalam di Masjid Sultan Ahmad Shah Pekan saya dan ramai penduduk Pekan bersama-sama menghadiri majlis tahlil dan solat hajat sempena 40 tahun penglibatan saya dalam dunia politik.

"Terima kasih juga kepada penduduk Pekan yang sentiasa memberi sokongan serta datang beramai-ramai semalam untuk majlis makan malam, solat berjemaah, membaca yassin serta solat hajat berdoa ke hadrat Allah SWT agar negara kita sentiasa dirahmati dan selamat," katanya.

Najib bertanding Pilihan Raya Kecil Parlimen Pekan pada 21 Februari 1976 pada usia 23 tahun sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982 sekali gus melakar sejarah sebagai menteri besar termuda iaitu pada usia 29 tahun.