Skip to main content

Dunia

Tentera Israel tutup laluan terakhir ke desa di Tebing Barat, sisih 47 keluarga

An Israeli army vehicle is seen next to Israeli settlers as they block access for local Palestinians in the West Bank village of Burqa, Thursday, Sept. 17, 2026, following an attack by settlers who, according to residents, set fire to the area. (AP Photo/Leo Correa)
Serangan oleh tentera Israel dan peneroka terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023. (Foto AP)
Advertisement

RAMALLAH / ISTANBUL: Tentera Israel telah menutup laluan terakhir ke Khirbet Ras al-Ahmar, sebuah perkampungan kecil Palestin di tenggara Tubas di utara Tebing Barat, mengasingkan sepenuhnya 47 keluarga Palestin untuk hari kelima berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi.

Penutupan itu berlaku selepas "lebih dua bulan (tentera Israel) menutup semua jalan darat menuju ke desa itu," kata penduduk Thaer Basharat kepada Anadolu pada Sabtu.

Basharat berkata pengepungan itu mula berlaku sejak kira-kira tiga tahun namun mencapai tahap kritikal lima hari lepas, apabila tentera Israel menggali parit merentasi laluan terakhir ke kampung itu, yang hanya boleh dilalui oleh traktor ternakan dan pertanian.

Beliau berkata kampung itu telah dijadikan "kandang" yang dikelilingi parit, tembok dan zon tentera.

“Sebanyak 47 keluarga di kampung itu bergantung pada penternakan dan kini tidak mampu membawa masuk keperluan asas atau makanan kambing biri-biri,” tambahnya.

Basharat berkata kira-kira 360,000 dunam (360 juta meter persegi) digunakan sebagai tanah ragut untuk petani di kampung itu, namun 90 peratus daripadanya sama ada telah dirampas atau diletakkan di luar had, menyebabkan petani berdepan keadaan yang sukar.

“Tekanan Israel bertujuan untuk mengusir seluruh masyarakat secara paksa dari kampung itu,” katanya.

Serangan oleh tentera Israel dan peneroka terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023.

Israel telah menduduki Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak perang Asia Barat 1967.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement