KUALA LUMPUR: Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (PJ HSIS) di Serdang, Selangor mengendalikan rekod 69 kes intervensi kardiologi semalam, sekali gus membuktikan keupayaan pusat tersebut dan warganya.
KKM menerusi hantaran di X semalam memaklumkan daripada jumlah itu, 40 merupakan kes elektif manakala 29 lagi kes kecemasan, termasuk empat prosedur intervensi koronari perkutaneus primer (Primary PCI) yang memerlukan tindakan segera bagi menyelamatkan pesakit serangan jantung.
HSIS mengendalikan hampir separuh iaitu 45 peratus kes-kes intervensi kardiak, daripada jumlah kes dari semua 10 pusat jantung KKM.
“Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen tinggi, kecekapan serta semangat kerja berpasukan seluruh warga kardiologi HSIS, dalam memastikan pesakit menerima rawatan jantung berkualiti tinggi secara cepat, selamat dan berkesan,” menurut hantaran itu.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan, sebanyak 44 prosedur angiogram bagi memeriksa salur darah jantung dan 39 prosedur PCI untuk membuka salur darah tersumbat menggunakan belon serta stent, telah dilaksanakan pada hari tersebut.
KKM memaklumkan PJ HSIS turut mengendalikan 13 kes koronari kompleks menggunakan teknologi pengimejan intravaskular (IVUS), yang membolehkan rawatan dilakukan dengan lebih tepat dan selamat.
Antara prosedur berteknologi tinggi yang dilaksanakan ialah empat kes RotaPro Rotational Atherectomy dan tiga kes Intravascular Lithotripsy, iaitu rawatan khusus bagi salur darah jantung berkapur yang sukar dirawat menggunakan kaedah biasa.
Menurut hantaran itu, operasi pusat itu lazimnya berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang dengan kesemua tujuh makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) beroperasi sepenuhnya, bagi memastikan rawatan diberikan mengikut keperluan pesakit.
Selepas waktu pejabat, empat daripada makmal berkenaan terus beroperasi hingga lewat malam, bagi menyelesaikan baki kes yang masih menunggu rawatan.
Operasi berintensiti tinggi itu melibatkan sebanyak 80 petugas kesihatan, antaranya 14 pakar kardiologi, enam pegawai perubatan, 10 juru-X-ray, lapan penolong pegawai perubatan serta 40 jururawat dan pembantu perawatan kesihatan.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengiktirafan PJ HSIS sebagai Cardiac Centre of Excellence (COE) KKM, serta kepada semua petugas kesihatan yang komited memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Pada masa sama, infografik itu turut mengingatkan orang ramai supaya mengenali tanda serangan jantung seperti sakit atau rasa tertekan di dada, sakit yang menjalar ke lengan, rahang atau belakang serta sesak nafas, peluh sejuk dan loya.
-- BERNAMA