PUTRAJAYA: Gerakan Muda Gerakan Tanah Air (GTA), yang ditubuhkan baru-baru ini, menawarkan barisan kepimpinan anak muda berwibawa, berprinsip dan berkelayakan untuk bersaing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wakilnya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, yang merupakan Ketua Pejuang Muda Malaysia berkata Gerakan Muda GTA menyasarkan untuk bertanding di separuh daripada 120 kerusi pada PRU15.

Beliau berkata ia hanya sasaran awal kerana Gerakan Muda GTA masih belum diperakui di peringkat Majlis Presiden GTA.

"Jika mengikut impian kami, separuh atau lebih untuk bertanding namun ia bergantung kepada hasil musyawarah di peringkat Gerakan Muda dan Majlis Presiden.

"Kami juga bersedia dan terbuka untuk mengadakan sesi dialog dan rundingan dengan mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau gerakan anak muda lain yang mempunyai agenda dan cita-cita yang sama dalam pentas politik," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pada 4 Ogos lepas, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA, sebuah gabungan yang bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi, dan akan meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia khususnya yang mempunyai majoriti kaum Melayu.

Buat permulaan, GTA disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

-- BERNAMA