Gerakan Harapan Baru (GHB) bukan kumpulan serpihan sebaliknya ia membawa satu idea dan meneruskan gagasan PAS suatu ketika dahulu.

Penganalisis Politik, Dr Maszlee Malik berkata, selepas muktamar PAS ke-61 baru-baru ini, wadah parti Islam itu dilihat tidak dapat diteruskan lagi.

"Ini merupakan pembersihan. Pembersihan daripada pemikiran konservatif supaya PAS boleh kekal dengan pemikiran konservatif.

"Jadi mereka yang cuba membawa Islam yang lebih lunak, lebih terbuka boleh memilih wahana atau platform yang lebih sesuai dengan mereka," katanya dalam satu temubual bersama Astro Awani di baru-baru ini.

Dr Maszlee berkata, ia membawa kerugian buat PAS kerana tiada pertukaran idea baru dalam parti itu dan menimbulkan persoalan sama ada ia sebuah badan dakwah atau parti politik.

Beliau berkata, GHB membawa satu gagasan bahawa islam yang lebih mesra.

GHB katanya, menunjukkan keterbukaan Islam melalui ruang politik dan tidak mudah menjatuhkan hukum serta membawa penyelesaian yang diterima oleh semua kelompok rakyat.

Pada rabu, 18 anggota jawatankuasa PAS kawasan Shah Alam meletakkan jawatan dan dijangka akan menyertai GHB.

Mereka termasuk Yang Dipertuanya, Azli Yusof, Timbalan Yang Dipertua, Zulkifli Mohd Nani, Naib Yang Dipertua, Mohamad Jamil Abd Rahim dan Ketua Pemuda, Helmi Radzuan.