Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan pendirian tegas untuk tidak bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Tegas Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak itu, parti tersebut dilihat tidak berniat baik.

Perkara tersebut menjadi punca keengganan GPS menjalinkan sebarang hubungan politik bersama DAP.

Ini kerana tindakan DAP ke atas Sarawak sebelum ini meninggalkan kesan mendalam yang tidak dapat dilupakan parti beliau.

“Saya tidak dapat bekerjasama dengan DAP, mana boleh lupa apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan parti itu sebelum ini yang menganggap Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun serta mengaitkan beberapa projek yang telah dibatalkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

BACA: Tiga syarat GPS sertai Kerajaan Persekutuan

Sebelum ini, DAP Sarawak dan Ketua PH negeri, Chong Chieng Jen menyatakan bersedia ‘mengetepikan semua perbezaan’ untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara.

Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abang Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong bersempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di Gedong pada Ahad.

Dianggarkan lebih 500 penduduk kawasan sekitar Gedong hadir pada majlis tersebut.

VIDEO: GPS bakal sertai Kabinet Pusat