KUALA LUMPUR:Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli politik dalam apa jua keadaan terutamanya dalam berdepan cabaran penularan COVID-19 ketika ini.

"GPS akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang dalam menangani wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Fadilah turut mengakui dengan titah baginda yang mempercayai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi terus membendung wabak itu daripada terus merebak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Alexander Nanta Linggi  menafikan sebarang kaitan dengan PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau berkata, gabungan empat parti Sarawak yang mempunyai 18 kerusi di Parlimen itu masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan  Muhyiddin.

Katanya, GPS berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.

BACA: Gadai prinsip UMNO jika kerjasama dengan Anwar, DAP - Annuar Musa

BACA: 
Pas setia dengan kepimpinan Muhyiddin - Takiyuddin