KUALA LUMPUR:Pas menyatakan sokongan penuhnya kepada kepimpinan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada lewat Isnin berkata pendirian itu adalah bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin.

“Pas menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus mempertegaskan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen Pas bersama kerajaan PN yang prihatin serta bertindak bagi memastikan keselamatan kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin.

Beliau dalam pada itu turut menyeru Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar terus beristiqamah untuk mempertahankan kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Pada masa yang sama, PAS menyeru seluruh rakan-rakan Ahli Parlimen BN untuk terus istiqamah mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan PN yang dibina bersama atas keruntuhan Pakatan Harapan,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.



BACA: Pas ulangi pendirian sokong Muhyiddin, tidak terkesan tindakan 'desperado'

Takiyuddin berkata partinya menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebersamaan baginda dengan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara

“Pas menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan baginda dengan Kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menangani penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata.

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak COVID-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu-padu,” katanya.

BACA: Keutamaan kerajaan ketika ini lindungi rakyat daripada COVID-19 - Muhyiddin

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung pada Isnin mengambil keputusan akan terus mendukung kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.


Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, UMNO turut mengekalkan keputusan terdahulu iaitu menjalin kerjasama tanpa PKR dan DAP.