KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) kini di peringkat akhir perbincangan dan penilaian mengenai calon bagi kerusi Parlimen di Sabah dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata calon yang dipilih adalah yang diyakini boleh menang, diterima oleh rakyat dan mampu memberikan perkhidmatan untuk rakyat.

"Siapa pun yang akan dipilih menjadi calon, GRS dan BN akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada calon berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

BACA: PRU15: Tarikh mengundi ditetapkan 19 November

Turut diadakan serentak adalah PRK DUN Bugaya, yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan kemudiannya tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah pandemik COVID-19.

Pada 7 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.

Hajiji berkata kerjasama GRS dan BN dalam mentadbir kerajaan Sabah adalah penting dalam mewujudkan sebuah keadaan yang stabil bagi merancang serta melaksana program dan inisiatif di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk rakyat.

"Saya telah nyatakan kepada pimpinan di peringkat Persekutuan jangan ganggu kita di Sabah, kita pegang kepada persefahaman dan janji ini, sebab kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah," katanya.

-- BERNAMA