PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil sikap terbuka terhadap mana-mana parti politik yang ingin membentuk kerjasama dengannya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya tidak akan menolak apa juga cadangan asalkan ia membawa kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat Sabah.

"Kita terbuka dalam hal-hal untuk kebaikan Sabah. Sekarang ini, seperti mana kita sedia maklum, kerajaan (negeri) antara GRS, PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional). Kita satu kerajaan yang terbuka dalam apa juga cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu daripada Warisan Datuk Mohd Yusof Apdal yang dilaporkan berkata penggabungan atau jalinan kerjasama antara Warisan dan GRS dilihat tidak mustahil demi rakyat dan negeri Sabah.

Bagaimanapun Mohd Yusof berkata pandangannya itu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi Warisan untuk dipertimbangkan.

Warisan yang diterajui Ahli Parlimen Sempona Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah antara parti menyokong kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan namun berada di blok pembangkang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mohd Shafie juga adalah Ketua Pembangkang dalam Persidangan DUN Sabah.

-- BERNAMA