POLITIK
GRS yakin hadapi PRN Sabah, 'parti nyamuk' tiada kredibiliti - Yusof Yacob

Yusof berkata GRS telah menunjukkan prestasi yang baik sejak penubuhannya termasuk dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat. - Foto Pasukan Yusof Yacob
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia dan yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ringkasan AI
- GRS bersedia hadapi PRN Sabah ke-17, dijangka Oktober sebelum pembubaran automatik DUN pada 11 November; GRS kini miliki 41 kerusi bersama PH.
- Yusof Yacob tekankan strategi mikro & perpaduan dalaman, sambil mengulas kemunculan -parti nyamuk- dan taktik politik seperti fitnah serta isu persepsi.
- Fokus kerajaan negeri pada isu asas seperti jalan raya dan bekalan air, dengan calon PRN disaran dipilih berdasarkan kemampuan, bukan -tangkap muat-.
“Ini adalah proses demokrasi, bukan sistem komunis atau kuasa mutlak. Ini terpulang kepada Ketua Menteri Sabah (untuk membubarkan DUN). Saya ingat tidak jauh daripada bulan Oktober.
"Jadi, ini sejarah. Di mana Sabah ini bila pilihan raya, dan di Malaysia pun.. suatu proses demokrasi yang sangat menarik. Dalam proses itu, berbagai-bagai tawaran terutama sekali daripada parti-parti lawan kerana dalam proses politik, ini adalah satu landasan untuk mencari kuasa.
"Bagi saya secara peribadi, GRS mempunyai kelebihan terutama sekarang GRS mempunyai 41 kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan komponen," katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin itu menambah Kerajaan Negeri sedang giat mengambil langkah penyelesaian terhadap isu-isu infrastruktur asas seperti jalan raya dan bekalan air, yang menjadi warisan daripada pentadbiran terdahulu.
Menjawab persoalan mengenai senario politik di Sabah dan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan GRS, Yusof berkata ia bukan polemik baharu kerana banyak pemimpin politik yang didakwa mahu menjadi Ketua Menteri.
“Ramai pemimpin mahu jadi Ketua Menteri. Ini jadi masalah utama. Bahkan parti-parti kecil pun ada agenda sama walaupun tiada kekuatan,” katanya.
Kemunculan 'parti nyamuk'
Beliau turut mengulas tentang kemunculan banyak parti kecil atau "parti nyamuk", yang disifatkan sebagai tidak mempunyai kredibiliti mahupun sokongan, tetapi tetap mahu merebut tampuk kepimpinan.
Begitu pun, Yusof menegaskan situasi tersebut tidak salah kerana ia mencerminkan sistem demokrasi yang subur, malah rakyat sudah bijak untuk membuat keputusan.
"Taktik sekarang ini tabur fitnah, tuduh-menuduh antara satu sama lain dan bagaimana untuk membunuh pihak lawan sama ada melalui fakta atau auta, mahupun melalui pembunuhan karakter.
"Macam sekarang ini pelbagai isu seperti rasuah, video (yang dijana daripada teknologi) dan ia tidak dibuktikan sama ada betul atau salah.
"Tetapi akhirnya, rakyat sekarang bukan bodoh. Mereka tahu (menilai) yang mana satu persepsi dan hanya sebagai isu," ujarnya lagi.
Kesiapsiagaan jentera menjelang PRN ke-17
Yusof menekankan keperluan untuk menyatupadukan barisan kepimpinan dalam GRS dan mengelak krisis dalaman sesama parti komponen, mahupun dalam Gagasan Rakyat sendiri.
Beliau juga mengingatkan bahawa strategi mendekati pengundi perlu digerakkan secara mikro dan tersusun, dengan fokus kepada isu rakyat.
“Kita ada lapan komponen dalam GRS. Jangan ada krisis antara komponen itu. GRS secara dalaman, kemudian rakan dalam GRS. Maksudnya, Gagasan Rakyat secara dalaman dan ia mesti boleh membulatkan kepimpinan tersebut.
"Kemudian bagaimana kita bekerjasama dengan rakan di luar GRS seperti PH dan komponennya," katanya.
Ditanya sama ada akan mempertahankan kerusinya di Sindumin, Yusof menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti untuk menilai dan menampilkan calon yang tepat.
Bagaimanapun, Yusof berpandangan calon-calon yang bakal mengisi kerusi perlu dipilih berdasarkan kemampuan sebenar, dan bukannya “tangkap muat”.
"Sebab itu saya tidak pernah 'demand'. Tetapi kalau diberikan peluang, saya akan ambil tanggungjawab itu untuk dilaksanakan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat dan negeri," katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, DUN Sabah akan dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada PRN ke-17, yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Ujar beliau, keputusan itu mesti dilakukan kerana tempoh penggal DUN akan berakhir pada November ini.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami