Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua pemimpin akar umbi untuk mengamalkan semangat berpasukan seperti pasukan bola sepak Malaysia di Sukan SEA (KL 2017).

Katanya, beliau amat tertarik apabila menonton perlawanan tersebut kerana mesej yang dibawa di sepanjang perlawanan berlangsung boleh diamalkan dalam konsep kepimpinan.

"Saya tengok gol pertama, kedua dan ketiga semuanya hebat dengan hantaran serta tandukan yang kemas.

"Maknanya, kalau kita main dalam satu pasukan dengan persefahaman dengan setiap ahli pasukan tahu peranan masing-masing, kita boleh menang.

"Tapi, saya tengok bila Myanmar berjaya menjaringkan gol disebabkan kesilapan salah seorang ahli pasukan, itu yang perlu kita jaga-jaga," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan JKKK/P/OA & Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Selasa.


Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan dua insentif khas kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) iaitu Skim Insurans Kelompok kepada 265,000 ahli yang diluluskan Kabinet minggu lalu berkuat kuasa Januari 2018 dan juga kad identiti yang memberikan faedah diskaun bagi pembelian produk pertanian, penginapan, makan minum di hotel dan resort tertentu.

Katanya, di bawah skim itu, kerajaan akan membayar RM10, manakala ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA perlu membayar RM7 setahun yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000, manakala kematian biasa RM2,500.

Najib turut menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan kepada pemenang tiga kategori iaitu kategori Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.

Pada majlis itu juga, seramai 15 wakil peserta Sijil Tadbir Urus Desa daripada 3,000 orang dalam kalangan JKKK, JKKKP menerima sijil program kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) .