Hairan dengan pengumuman Anwar, Mukhriz saran kemuka bukti

Abd Hadi Che Awang
September 25, 2020 22:10 MYT
Mukhriz berkata, tindakan Anwar yang dilihat tidak sudi bekerjasama dengan pihaknya menyebabkan kesemua 18 mereka tidak mengambil sikap "terhegeh-hegeh" untuk menawarkan diri. - Astro AWANI
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi disarankan mengemukakan bukti jumlah sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi membentuk sebuah kerajaan baharu seperti dakwaannya.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau hairan dengan pengumuman Anwar yang mengakui memiliki majoriti yang besar.
Walhal, kata Mukhriz, ketika ini satu demi satu Ahli Parlimen dari UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak mengesahkan tidak menyokong Anwar.
Menurutnya, beliau dan 17 lagi Ahli Parlimen mewakili Pejuang, Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) perlu dilihat sebagai kompenen penting dalam menentukan keputusan mengenai perubahan tampuk pemerintahan negara.
Bagaimanapun, tegas Mukhriz, tindakan Anwar yang dilihat tidak sudi bekerjasama dengan pihaknya menyebabkan kesemua 18 daripada mereka tidak mengambil sikap "terhegeh-hegeh" untuk menawarkan diri bagi menyertai kerjasama berkenaan.
"Saya tak tahu apa sebabnya (pengumuman Anwar), tetapi dalam sidang media yang dibuat Anwar, dia sebut secara jelas kumpulan Tun (Dr Mahathir Mohamad) tak termasuk dalam jumlah (majoriti) yang dia punyai.
"Jadi, kami tak terasa, sebab tak pernah sesiapa bawa berbincang niat dia untuk ambil alih tampuk kepimpinan kerajaan ini.
"Takkanlah kami nak terhegeh menawarkan jumlah 18 yang kami ada, walhal orang itu pun macam tak sudi," katanya kepada media selepas menghadiri majlis forum memperingati jasa Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak di Kota Sarang Semut, malam tadi.
BACA: Anwar pernah dakwa ada majoriti tapi sebenarnya tiada - Tun Mahathir
BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid
Terdahulu, Dr Mahathir mendesak Anwar menunjukkan bukti bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan sebuah kerajaan baharu.
Menurutnya, tindakan dilakukan pemimpin terbabit bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara malah turut menjejaskan imej Malaysia.
BACA: MP UMNO sokong Anwar? Ini pandangan Tun Mahathir
BACA: Anwar dakwa ada majoriti kukuh
Anwar dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu menegaskan, pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.
Presiden PKR itu turut mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.
BACA: 'Ini hanyalah angan-angan Anwar' - Ku Nan nafi penglibatan
BACA: Idris Jusoh nafi sokong Anwar
#Anwar Ibrahim #bentuk kerajaan #bukti #Dewan Rakyat #ekonomi #kerajaan #kestabilan ekonomi #Mahathir Mohamad #majoriti #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #PAS #Perdana Menteri #PKR #rakyat #sokongan #UMNO