SHAH ALAM: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi bayangan jawatan Menteri Besar Perlis akan disandang oleh calon daripada Pas sekiranya gabungan itu berjaya menawan negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Memetik laporan portal berita, Hamzah berkata, selaku ‘abang’ dalam gabungan berkenaan, calon daripada Pas dilihat lebih sesuai memegang jawatan berkenaan.

Justeru katanya, dengan kedudukan sebagai ‘abang’ itu, Pas perlu memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan sebaiknya dan kedua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang perang PRU15.

"Saya sebut 'abang' sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin Pas yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis serta Amanat Khas Setiausaha Agung PN di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, adalah tidak menjadi masalah atau kesalahan bagi PN untuk meletakkan Pas sebagai Menteri Besar negeri itu selepas PRU15 nanti.

"Walaupun Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu meletakkan enam kerusi yang boleh dimenangi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis untuk membentuk kerajaan PN di Perlis, saya berpendapat bahawa kita perlu menang sekurang-kurangnya 12 kerusi untuk dilihat sebagai kuat.

"Jadi saya menyeru agar semua ahli PN dapat bekerja keras dalam menghadapi PRU nanti," katanya.

Pada Khamis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak boleh dipaksa untuk memilih antara UMNO mahupun Bersatu dalam kerjasama politik pada PRU15 nanti.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO dan Bersatu perlu bermuafakat duduk semeja untuk mencapai kestabilan politik.

Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pas dijangka memuktamadkan hala tuju sama ada bersama UMNO atau PN dalam masa terdekat.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian