PETALING JAYA: Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengemukakan surat tuntutan terhadap tiga pihak susulan
dakwaan mengaitkan dirinya dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Sim Choo Thiam.

Menurut Ketua Pembangkang itu, surat tuntutan berkenaan dihantar melalui Jabatan Peguam Negara kepada Kerajaan Malaysia; Tan Sri Azam Baki; serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hamzah berkata, tuntutan tersebut menggesa ketiga-tiga pihak terbabit agar segera berhenti bertindak terhadap satu pihak.


"Peguam saya telah pun menghantar surat ini dan saya difahamkan telah diterima dan kita telah pun memaklumkan bahawa beberapa pegawai kerajaan telah melakukan satu perkara, yang saya maksudnya (sebagai) penyalahgunaan kuasa.

"... dan juga melakukan 'misfeasance in public office' dan bersekongkol menyebabkan saya dianggap sebagai seorang yang melakukan kesalahan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional  (PN) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Setiausaha Agung PN itu berkata, keputusan untuk mengemukakan tuntutan adalah bagi menghentikan tindakan kezaliman yang didakwa dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Ujarnya lagi, tindakan 'menakut-nakutkan' rakyat dan ahli perniagaan dengan menyalahgunakan kuasa penjawat awam disifatkan boleh menjejaskan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia.

Selain itu, Hamzah mendakwa wujud konspirasi oleh sesetengah pihak yang menggunakan SPRM.

"Pegawai awam dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan hak-hak perlembagaan rakyat dan tidak seharusnya melanggar hak-hak tersebut.

"Jika anda berterusan melanggar kewajipan dan kewajipan bersumpah Perlembagaan anda," kata Hamzah ketika membacakan tuntutan tersebut.

Pada 10 Mei lalu, ahli perniagaan Choo Thiam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap empat tuduhan dihadapinya.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2021.

Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.